AM

UTM Sedia Beri Kerjasama Sepenuhnya Kes Kematian Pegawai Kadet PALAPES

11/08/2025 09:02 PM

JOHOR BAHRU, 11 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengulangi komitmen untuk memberikan kerjasama penuh berhubung siasatan kes kematian seorang pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) universiti itu.

Pusat Komunikasi Korporat UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu diberikan kepada keluarga mangsa dan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara berhemah, telus dan adil.

Menurut kenyataan itu, Yayasan Perkasa Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menyalurkan sumbangan selain ucapan takziah oleh Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Pihak pengurusan tertinggi UTM turut mengiringi Menteri Pendidikan Tinggi menziarahi keluarga Allahyarham Syamsul Haris pada 1 petang tadi,” menurut kenyataan itu. 

Syamsul Haris Shamsudin, 22, dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan PALAPES UTM di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor, pada 28 Julai lepas.

Penuntut Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM itu menyertai latihan PALAPES UTM bermula 26 Julai lepas dan sepatutnya dijadualkan berakhir 3 Ogos.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan