Oleh Habsah Ismail
KOTA BHARU, 10 Ogos (Bernama) -- “Kami tak perlu lagi ganti nasi dengan ubi kayu”, itu respons polos Amoi Asud, 36, dari suku Temiar di Kampung Jader, Pos Simpor, Gua Musang, menggambarkan betapa bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) benar-benar membawa perubahan dalam kehidupan harian mereka terutama dalam menjamin keperluan makanan asas.
Katanya dengan hanya pengesahan MyKad, urusan suaminya yang akan ke bandar untuk membeli beras dan makanan kering seperti mi dan bihun sebagai bekalan keluarga menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa.
“Sejak ada bantuan ini bantu kami pastikan makanan sentiasa ada dan tak perlu lagi bergantung pada ubi kayu kalau bekalan beras habis,” katanya ketika ditemui Bernama.
Suri rumah Suria Kamarul, 24, daripada suku kaum Mendriq di Kampung Kuala Lah, Gua Musang berkata MyKad kini umpama kad serba guna yang membolehkannya membeli barangan asas di kedai runcit berdaftar meskipun terletak hampir 10 kilometer dari penempatannya.
“Bantuan RM100 sebulan ini kami gunakan sebaik mungkin untuk beli barang dapur dan keperluan harian,” katanya yang bekerja menanam serai bersama suami.
Seorang penoreh getah dari daerah sama, Harun Abus, 24, turut mengakui penggunaan MyKad lebih praktikal berbanding bantuan tunai kerana perbelanjaan lebih terkawal selain bilangan kedai berdaftar yang juga semakin bertambah.
“SARA beri kesan besar kepada komuniti kami yang rata-rata tiada pendapatan tetap, lagipun sekarang semakin banyak kedai kampung sudah berdaftar dengan SARA, jadi lebih mudah untuk kami yang jauh dari bandar,” katanya.
Sementara itu, nelayan warga emas, Awang Mat Sulaiman, 67, dari Tok Bali, Pasir Puteh berkata kaedah pembelian menggunakan MyKad amat memudahkan terutama bagi golongan seusianya.
Isterinya Zainun Sidi, 65, turut memuji proses pembelian yang mudah selain adanya kaunter khas untuk penerima SARA di pasar raya.
Seorang ibu tunggal, Zariana Awang Mat, 34, yang menyara lima anak berkata bantuan yang diterima sejak Januari lepas memudahkannya membeli keperluan anak tanpa perlu menyediakan wang tunai terlebih dahulu.
Program SARA merupakan bantuan tunai bersasar yang kini diperluas kepada 5.4 juta penerima, merangkumi 700,000 penerima sedia ada dalam eKasih dan 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
Menerusi Belanjawan 2025, peruntukan untuk STR dan SARA ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya. Kadar bantuan tahunan SARA juga dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 tahun lepas.
Inisiatif itu selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pemerkasaan rakyat berpendapatan rendah menerusi peluang adil, taraf hidup lebih baik serta perlindungan sosial menyeluruh.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan turut mengumumkan pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas di bawah program SARA.
Langkah berkenaan dijangka memberikan manfaat kepada 22 juta rakyat, melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan STR dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.
Sehingga 29 Julai lepas, sebanyak 4,500 premis runcit berdaftar di seluruh negara telah menyertai program SARA, menawarkan lebih 90,000 barangan keperluan harian dalam 14 kategori termasuk beras, telur, ubat-ubatan, barangan kebersihan, keperluan sekolah dan kebersihan diri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial