SEREMBAN, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan melantik Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat dan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Masri Baharuddin sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang baharu bermula pada hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Masri Razali yang telah dilantik sebagai Pegawai Kewangan negeri sejak Mei lepas.
Masri Baharuddin merupakan anak jati Rembau dan berpengalaman lebih 30 tahun dalam sektor kejuruteraan awam serta pengurusan strategik di JKR dan pernah menyandang jawatan Pengarah JKR negeri pada 2019 hingga 2020.
"Kerajaan Negeri meletakkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan ini dalam mentadbir MBS ke arah menjadikan Seremban sebuah bandar yang mampan.
"Kepimpinan baharu ini dijangka membawa nafas segar berasaskan kejuruteraan strategik, teknologi pintar dan tadbir urus yang cekap demi memperkasakan perkhidmatan MBS secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sepanjang kerjayanya, lepasan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia itu terlibat dalam pelaksanaan sistem pengurusan aduan kuarters (SAKU), pembangunan sistem ROMAPS untuk penyenggaraan jalan negeri serta penyelarasan projek penting seperti pemasangan Jambatan Bailey Kuala Pilah–Tampin.
Beliau memimpin beberapa jawatankuasa teknikal kebangsaan termasuk Jawatankuasa Pindaan Arahan Teknik Jalan, Standard Specification for Building Works dan menjadi Profesor Adjung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Masri Baharuddin sebelum ini menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2002, 2004, 2010) dan dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) pada 2021.
Aminuddin turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan bekas Datuk Bandar menerusi pelbagai inisiatif strategik serta pencapaian cemerlang yang dicapai dalam memperkukuh agensi itu sebagai pihak berkuasa tempatan yang progresif, mampan dan responsif, sepanjang empat tahun perkhidmatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial