AM

Kes Zara Qairina: Fahmi Minta Orang Ramai Hormati Siasatan Pihak Berkuasa

07/08/2025 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menggesa orang ramai agar menghormati siasatan pihak berkuasa berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Beliau berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Ketua Polis Negara juga telah mengeluarkan peringatan susulan penyebaran meluas pelbagai kandungan tidak sahih berkaitan kes berkenaan di media sosial.

“Ini satu peringatan, jangan sebarkan kandungan yang tidak disahkan. Kita perlu berwaspada. Banyak maklumat yang diterima melalui media sosial kadangkala tidak dapat dipastikan ketulenannya, sama ada ‘genuine’ ataupun dihasilkan oleh AI dan sebagainya.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa dan AGC. Kita perlu menaruh kepercayaan kepada mereka untuk menjalankan tugas secara adil dan saksama, tanpa melindungi sesiapa,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program PENTARAMA Homecoming dan PENTARAMA X Kelab Malaysiaku sempena Hari Kebangsaan dan Malaysia (HKHM) 2025 di Sekolah Kebangsaan Bangsar di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah memberi jaminan bahawa tiada sesiapa akan dilindungi, dan mana-mana pihak yang terbukti terlibat dalam kes itu akan dibawa ke muka pengadilan.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar terbabit dibawa ke hospital selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.

Siasatan kes tersebut kini sedang dilengkapkan oleh PDRM selepas dipulangkan semula oleh AGC pada Selasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan