AM

Subsidi Petrol: PM Arah MCMC Siasat Penafian Muhyiddin - PMO

06/08/2025 10:19 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat berhubung kenyataan penafian Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin terkait dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Anwar juga mengarahkan tindakan sewajarnya diambil berkaitan perkara itu.

“Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum kenyataan penafian oleh  Ahli Parlimen Pagoh terkait dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

“Sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, Perdana Menteri telah mengarahkan MCMC untuk menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Anwar pada sidang Dewan Rakyat dilaporkan berkata beliau menerima laporan ada Ahli Parlimen daripada blok pembangkang yang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi.

Sehubungan dengan itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menerusi satu perkongsian di media sosialnya menafikan beliau pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang membawa maksud mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Beliau berkata Perikatan Nasional (PN) konsisten sejak dahulu bahawa manfaat pelaksanaan subsidi harus diberikan keutamaan terhadap kepentingan rakyat.

Sementara itu, MCMC dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya mengambil maklum berhubung perkara itu serta akan mengambil tindakan segera dan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

“MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan