KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT) telah mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM173.09 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 daripada kerugian bersih berjumlah RM248.88 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun kewangan 2024.
Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memberitahu pendapatan menurun sebanyak 19 peratus kepada RM1.43 bilion berbanding RM1.78 bilion pada suku kedua tahun kewangan yang lepas berikutan purata harga jualan yang agak lemah selain pengukuhan dalam dolar US berbanding ringgit.
Dalam suku kedua tahun kewangan 2025, purata penggunaan loji adalah pada 46 peratus, lebih rendah daripada 47 peratus yang disaksikan semasa suku kedua tahun kewangan 2024.
"Walaupun pendapatan yang dicatatkan adalah lebih rendah, kerugian kumpulan sebelum cukai dikurangkan sebanyak 42 peratus kepada RM191 juta pada suku kedua 2025 disebabkan oleh peningkatan margin.
"Pengurangan itu disumbangkan lagi oleh perbelanjaan pengedaran dan pentadbiran yang lebih rendah, bersama dengan tuntutan insurans satu kali berkenaan dengan gangguan perniagaan yang berlaku pada 2022," katanya.
Untuk enam bulan pertama yang berakhir pada 30 Jun 2025, LCT merekodkan kerugian bersih sebanyak RM298.76 juta berbanding dengan kerugian bersih berjumlah RM426.91 juta sebelum ini. Hasil jatuh kepada RM2.93 bilion daripada RM3.69 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LCT Jang Seon Pyo ketika mengulas mengenai prospek berkata syarikat itu menjangkakan persekitaran perniagaan global kekal tidak menentu dalam masa terdekat.
Katanya, ketegangan geopolitik seperti Perang Rusia-Ukraine dan isu di Timur Tengah yang berterusan, akan terus menimbulkan risiko. Selain itu, tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) telah muncul sebagai faktor yang membentuk semula dinamik perdagangan global.
Sejajar dengan itu, bekalan berlebihan dalam produk petrokimia terus memberi kesan kepada dinamik bekalan dan permintaan, baik di rantau ini atau pun di peringkat global.
"Walaupun wujudnya cabaran-cabaran ini, kami tetap komited untuk mengekalkan kedudukan kami di pasaran serantau utama seperti di Malaysia, Indonesia dan di seluruh Asia Tenggara.
"Berdasarkan unjuran terhadap pertumbuhan keluaran dalam negara kasar serantau dan jangkaan kadar operasi yang berhati-hati, kami akan terus mengemudi kitaran semasa dengan berhemat," katanya.
Sementara itu, Jang juga menjelaskan bahawa projek Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) di Merak, Indonesia bersedia untuk memulakan operasi komersil menjelang separuh kedua 2025. Pihak pengurusan akan terus memantau dinamik pasaran dan menyediakan kemas kini mengenai kemajuan projek tersebut dengan sewajarnya.
LCT adalah anak syarikat Lotte Chemical Corporation di bawah Lotte Group.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial