AM

KTMB Tetap Komited Perluas Perkhidmatan ETS Ke Johor

03/08/2025 02:34 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang bekerjasama dengan kontraktor dan pihak berkuasa berkaitan bagi melaksanakan protokol pentauliahan, untuk memastikan laluan seterusnya perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke Kluang dapat beroperasi secepat mungkin.

Menurut kenyataan KTMB, kemajuan bagi segmen seterusnya sedang berjalan dengan ujian percubaan kini dilaksanakan.

“Seperti diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke semasa peluasan ETS ke Segamat sebelum ini, operasi perkhidmatan ETS di sektor selatan akan dilaksanakan secara berfasa (Segamat, Kluang dan Johor Bahru (JB) Sentral) tertakluk kepada beberapa penanda aras teknikal kritikal dan kelulusan kawal selia.

“Tanggungjawab utama KTMB adalah untuk memastikan keselamatan, kebolehpercayaan dan kesiapsiagaan sebelum membuka sebarang segmen baharu kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.

KTMB turut memaklumkan bahawa perkhidmatan ETS ke Segamat telah berjaya beroperasi sejak Mac tahun ini, sekali gus menawarkan pilihan perjalanan lebih baik serta merangsang aktiviti ekonomi setempat.

“KTMB merakamkan penghargaan kepada semua penumpang, pemegang taruh tempatan dan orang ramai atas kesabaran serta sokongan berterusan. Kami kekal komited untuk menjayakan peluasan perkhidmatan ETS ke selatan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan