MELAKA, 2 Ogos (Bernama) -- Penat bekerja sebagai pencuci lori selama lima jam setiap malam nyata bukan alasan untuk mencapai kejayaan luar biasa dalam akademi, termasuk menerima dua anugerah tertinggi sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Melaka Ke-22.
Malah Muhammad Idham Idrus, 22, berasal dari Mukim Balai Panjang berkata pekerjaan itu menjadikannya bukan saja berdikari dalam mencari pendapatan buat diri dan keluarga dengan upah sekitar RM30 hingga RM40, tetapi membina karakter dirinya sebagai seorang yang cekal berdisiplin.
Beliau berkata dia terpaksa keluar bekerja, memandangkan ayahnya ketika itu jatuh sakit akibat kencing manis dan tidak dapat bekerja, manakala ibunya seorang suri rumah sepenuh masa selain dua abang dan dua adiknya juga masih belajar.
“Saya amat bersyukur dengan anugerah yang diperoleh hari ini berkat hasil pengorbanan sepanjang pengajian di politeknik, selain doa dan restu ibu bapa, keluarga dan pensyarah.
“Rasa gembira sangat, kerana usaha keras selama ini terbalas dan berbaloi selain dapat membanggakan keluarga,” kata graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan) itu kepada Bernama di Ayer Keroh di sini hari ini.
Terdahulu Muhammad Idham menerima Anugerah Pengarah, Anugerah Akademik dan Kokurikulum yang disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr Anesee Ibrahim.
Anugerah itu diterima beliau hasil pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan kepimpinan, sepanjang pengajian di Politeknik Melaka.
Mengakui tekanan dan keletihan menjadi cabaran terbesarnya, Muhammad Idham bagaimanapun membuktikan tetap mampu konsisten dalam pembelajaran, dengan secara bijak membahagikan masa bagi memastikan waktu tidur mencukupi serta kekal fokus dalam kuliah dan tugasan.
“Selain itu saya juga akan merujuk kepada kawan-kawan sekiranya ada perkara yang tidak difahami. Rancangan selepas ini saya akan bekerja sambil belajar iaitu sebagai kompetensi penjaga jentera elektrik A1,” katanya.
Pada majlis konvokesyen itu, 475 graduan Politeknik Melaka berjaya menamatkan pengajian pada peringkat diploma melibatkan graduan Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial