AM

Selangor Akan Keluar Pekeliling PBT Kibar Jalur Gemilang - Exco

02/08/2025 08:18 PM

SEKINCHAN, 2 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan mengeluarkan pekeliling mengenai kibar Jalur Gemilang kepada semua pihak berkuasa termpatan (PBT) di negeri ini dalam masa terdekat, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata arahan itu meliputi premis kerajaan, pihak berkepentingan, agensi termasuk lantikan politik kerajaan negeri, ahli majlis, Pusat Wanita Berdaya (PWB), Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan Ketua Komuniti India (KKI).

"Semangat patriotik sangat penting. Oleh sebab itu, perlu ada penggerak bagi mencetuskan semangat berkenaan. Kita perlu menghayati, kenang jasa pemimpin terdahulu dalam proses pembinaan negara termasuk jasa pejuang-pejuang kemerdekaan.

"Bukan mudah untuk sebuah negara kecil yang duhulunya tidak dikenali, sekarang mulai bangkit sebagai satu kuasa yang disegani. Harus kita pertahan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Selangor di Pantai Redang di sini hari ini.

Ng berkata ketua kampung dan persatuan rukun tetangga juga perlu bergerak senada dengan kerajaan negeri untuk bersama-sama memastikan Jalur Gemilang berkibar di seluruh halaman dan pelusuk kampung di Selangor.

Dalam masa sama, Ng turut menyeru guru-guru di negeri ini memainkan peranan penting untuk memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi muda bagi menjamin kesinambungan kemerdekaan dipertahankan. 

"Kita tidak mahu rakyat di negara ini hanya duduk dalam keadaan aman sejahtera tetapi mereka tidak faham atau tiada jiwa untuk sayangkan negara," katanya.

Terdahulu, Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan menerima kunjungan hampir 100 penunggang motosikal bagi acara Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Selangor.

Sekinchan ialah lokasi ketiga persinggahan konvoi berkenaan selepas Dataran Bandar Baru Salak Tinggi dan Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Selangor berakhir di Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak sebelum baton kembara diserahkan kepada pasukan konvoi dari Perak untuk peringkat seterusnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan