GEORGE TOWN, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yakin dapat mencapai sasaran sejuta pencarum aktif Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjelang hujung tahun ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata ketika ini lebih 800,000 pencarum aktif di seluruh negara dilindungi menerusi skim berkenaan yang menyediakan pelbagai faedah sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
"Dengan usaha berterusan pelbagai pihak termasuk PERKESO dan rakan strategik lain yang giat dalam menjalankan kempen kesedaran di seluruh negara, saya yakin kita boleh capai sasaran sejuta pencarum menjelang hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi libat urus PERKESO bersama pekhidmat rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sebanyak 200 pekhidmat rumah ibadat bukan Islam merangkumi penganut agama Buddha, Kristian, Hindu, Tao dan Sikh di Pulau Pinang. seliaan Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (HARMONICO) menerima perlindungan SKSPS daripada PERKESO.
Beliau berkata masih terdapat individu dalam sektor bekerja sendiri termasuk penjaja, pemandu e-hailing, petani, nelayan dan pengendali rumah ibadat bukan Islam yang tidak mengetahui bahawa mereka layak mencarum di bawah skim berkenaan.
Justeru, Sim berharap menerusi sesi libat urus tersebut, masyarakat akan sedar bahawa perlindungan sosial ini terbuka kepada semua termasuk mereka di rumah ibadat bukan Islam.
Sementara itu, Sim berkata SKSPS penting kepada golongan B40 dan M40 bekerja sendiri yang sering kali tidak mempunyai sebarang perlindungan sekiranya ditimpa kemalangan atau hilang upaya.
Beliau berkata skim itu menawarkan pelbagai faedah penting termasuk perlindungan jika berlaku kemalangan, bantuan perubatan, rawatan pemulihan, bayaran pampasan dan pencen kepada pencarum serta waris mereka.
"Usaha memperluas kesedaran itu juga menjadi agenda penting kerajaan dalam memastikan semua rakyat tanpa mengira latar belakang pekerjaan mendapat perlindungan sewajarnya dan ia bukan hanya soal caruman, tetapi soal keselamatan, kelangsungan hidup serta kesejahteraan sosial rakyat secara keseluruhan.
''Malang tidak berbau, kalau berlaku musibah atau bencana, sekurang-kurangnya mereka mempunyai pelindungan dari segi keselamatan sosial yang boleh meringankan beban,'' katanya.
Sim berkata program di Pulau Pinang itu menjadi sebahagian daripada siri jelajah dan kempen kesedaran yang dirancang di seluruh negara bagi merancakkan penyertaan masyarakat dalam skim pekerjaan sendiri PERKESO menjelang hujung tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial