KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- BMI yang juga unit Fitch Solutions, mengekalkan unjuran positifnya terhadap perbelanjaan pengguna di Malaysia bagi tempoh sepanjang 2025 dengan prospek makroekonomi negara yang sihat menjadi pemacu pertumbuhan sebenar dalam pendapatan isi rumah.
Seiring purata inflasi yang lebih rendah berbanding unjuran pada Mei, BMI bertindak menyemak turun unjurannya bagi inflasi keseluruhan pada 1.9 peratus tahun ke tahun pada 2025, turun daripada 2.1 peratus sebelum ini yang hanya meningkat sedikit berbanding purata 1.8 peratus dalam 2024.
BMI berkata ini kekal memadai untuk menyokong kuasa beli isi rumah.
“Secara keseluruhannya, kami mengunjurkan perbelanjaan isi rumah berkembang sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun selepas 2025 kepada RM930.7 bilion yang meningkat daripada RM896.9 bilion dalam 2024.
“Oleh itu, perbelanjaan isi rumah kembali ke paras pertumbuhan menghampiri tempoh sebelum COVID apabila tumbuh pada kadar purata benar 5.2 peratus sewaktu 2015-2019.
“Bagaimanapun, perbelanjaan akan terus dikekang oleh tahap paras hutang tinggi pengguna Malaysia serta kos perkhidmatan berkaitan yang juga meningkat,” katanya dalam ulasan bertajuk “Tinjauan Pengguna Malaysia : Unjuran Pertumbuhan Kukuh Sepanjang 2025 dan 2026,” hari ini.
Mengulas prospek bagi 2026, BMI menjangkakan perbelanjaan pengguna akan meningkat, didorong oleh pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kukuh serta jangkaan penggajian yang stabil.
Keyakinan dan kesediaan pengguna untuk berbelanja akan terus dipacu oleh persekitaran inflasi lebih stabil dan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pendirian lebih menyederhana, mengurangkan kadar faedah utama sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus dalam Disember 2025 kepada 2.50 peratus menjelang akhir 2026.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan pertumbuhan perbelanjaan isi rumah kepada sekurang-kurangnya 5.0 peratus tahun ke tahun bagi 2025 yang menjadikan perbelanjaan pada RM977.3 bilion," katanya.
BMI berkata pendapatan isi rumah dan jualan runcit berkaitan pelancongan yang kukuh akan terus menyokong peningkatan perbelanjaan bagi tempoh unjuran 2025-2026 itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial