KUALA KANGSAR, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menetapkan prasyarat kepada pemain industri perladangan supaya mengambil pelajar lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang berkaitan sebelum dibenarkan menggaji pekerja asing.
Menteri berkenaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pemain industri perlu mengemukakan bukti pengambilan pelajar TVET kepada kementerian terlebih dahulu, sebelum permohonan pengambilan pekerja asing dipertimbangkan.
“Kita sedang berdepan dengan situasi di mana banyak industri enggan mengambil pelajar lepasan latihan ini untuk bekerja. Mereka tidak mahu memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman, sebaliknya mahu cara yang mudah.
“Walaupun kerajaan telah meluluskan pengambilan pekerja asing bagi sektor perladangan, saya tidak akan benarkan jika pihak industri langsung tidak memberi sumbangan kepada pembangunan anak tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Dialog@KPK Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Datuk Seri Johari Abdul Ghani di sini hari ini.
Johari berkata kementerian menyasarkan untuk melatih kira-kira 250 pelajar TVET dalam bidang perladangan setiap tahun, sebelum menempatkan mereka mengikut keperluan industri.
Katanya, pemain industri pula bertanggungjawab untuk terus melatih pelajar ini sehingga mereka mahir dan berpotensi menjadi pakar dalam bidang masing-masing.
“Saya ingin memuji Sime Darby dan FGV atas komitmen mereka yang telah mengambil inisiatif menyediakan tempat tinggal serta gaji yang menarik kepada pelajar-pelajar ini. Walaupun mereka tidak melanjutkan pengajian ke universiti, mereka masih boleh memperoleh pendapatan sehingga RM2,500 sebulan.
“Jika mereka menyambung ke TVET Tahap 3 selama lapan bulan lagi, gaji mereka boleh meningkat sehingga RM3,500. Sekurang-kurangnya kita bantu mereka membina kerjaya. Kalau tidak, kasihan pelajar-pelajar ini, kerana apa yang dijanjikan kepada mereka tidak ditunaikan. Lebih teruk, jika pihak industri langsung tidak mahu mengambil mereka bekerja,” katanya.
Beliau menambah, ketika ini terdapat hampir 260,000 pekerja asing yang mentadbir ladang-ladang di negara ini.
“Ini sektor yang sangat penting kerana ia merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada eksport negara. Sektor komoditi menyumbang kira-kira RM168 bilion nilai eksport. Jadi, kita mahu pemain industri turut memikul tanggungjawab membela masa depan anak-anak tempatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial