AM

TUDM Terus Fokus Pembangunan Modal Insan - Panglima

21/06/2025 03:38 PM

ALOR SETAR, 21 Jun (Bernama) -- Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berharap kepimpinan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus menekankan aspek pembangunan modal insan dengan melahirkan anggota yang terlatih dan pakar dalam mengendalikan aset-aset baharu dan canggih, seiring era transformasi pertahanan ketika ini.

Beliau berkata penekanan itu penting bagi meningkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan anggota terhadap teknologi baharu yang kompleks, selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM, iaitu CAP55.

“Saya penuh harapan perkara ini (pembangunan modal insan) akan diteruskan… termasuk meneruskan penghantaran pelatih menjalani latihan kepakaran untuk menghadapi teknologi-teknologi baharu seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi lebih canggih.

“Apabila aset-aset (berteknologi tinggi) ini sampai kepada kita, kita sudah bersedia… jadi tidak berlaku kejutan apabila ia diterima kelak,” katanya kepada pemberita selepas Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 86/24 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 66/24 di Kolej Tentera Udara di sini, hari ini.

Menurut beliau, mempelajari teknologi baharu bukanlah sesuatu yang sukar, namun memerlukan disiplin dan kecekapan supaya setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan baik.

Mohd Asghar Khan berkata beliau akan bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 26 Jun ini dan majlis serah terima tugas kepada Panglima Tentera Udara yang baharu akan diadakan di Pangkalan Udara Subang, Selangor, pada tarikh berkenaan.

“Saya juga telah menasihatkan warga TUDM supaya memberi kerjasama penuh kepada Panglima baharu nanti,” katanya.

Mohd Asghar Khan, 60, yang telah berkhidmat dalam TUDM selama 40 tahun, menyandang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan itu sejak Mac 2022.

Anak kelahiran Selangor itu menyertai ATM pada 1983 sebagai pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja sebelum memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985.

Lebih dikenali dengan call sign “GUNJIZ”, Mohd Asghar Khan turut mempamerkan kemahiran mengendalikan pesawat Sukhoi Su-30MKM semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, baru-baru ini.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 27 pelatih terdiri daripada 12 juruterbang sayap kaku dan 15 juruterbang helikopter daripada Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dan INSPEN 2 menerima sayap masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan