KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid Ismail atas pelantikan sebagai Ketua Polis Negara yang baharu.
Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi mendoakan agar Mohd Khalid dapat terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab itu dengan cemerlang demi keselamatan serta kesejahteraan negara.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Razarudin Husain atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang perkhidmatan. Selamat bersara, Tan Sri!,” katanya.
Turut mengucapkan tahniah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Mohd Na’im berkata pelantikan itu membawa harapan agar keamanan dan keadilan negara terus terpelihara di bawah kepimpinan baharu.
"Semoga amanah besar ini digalas dengan penuh hikmah, ketegasan dan integriti demi memastikan keamanan, keadilan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara. Doa kami mengiringi Datuk Seri dalam meneruskan kesinambungan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi Malaysia MADANI yang lebih sejahtera dan berwibawa," katanya.
Mohd Khalid, 60, yang dilantik sebagai KPN ke-15 menggantikan Razarudin berkuat kuasa hari ini, pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas PDRM termasuk Ketua Cawangan Khas Pahang bermula 25 Mei 2018, sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 Sept 2021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial