SEREMBAN, 20 Jun (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bukan sahaja inisiatif jualan murah tetapi juga menjadi penyelamat bulanan buat rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup khususnya golongan berpendatan rendah dan sederhana.
Hasrul Hashim, 38, dari Ampangan berkata program berkenaan memberi kelegaan besar kepadanya dalam menguruskan perbelanjaan keluarga terutama ketika harga barangan asas di pasaran semakin tinggi.
“Ia bukan semata-mata jualan murah, tetapi penyelamat bulanan dan ini kali kedua saya ke program Jualan Rahmah. Kali pertama saya ke sini, saya teruja kerana harga barangan ditawarkan lebih murah berbanding yang biasa saya beli.
“Saya boleh jimat hingga 60 peratus menerusi jualan ini. Jadi saya harap kerajaan akan buat secara berterusan dan diperluas ke semua tempat,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Mariam Abdul Kadir, seorang suri rumah berusia 68 tahun pula berkata program jualan itu bukan sahaja membantu dari segi kewangan tetapi juga menjimatkan masa dan tenaga kerana lokasi yang lebih dekat serta mudah diakses.
“Jualan ini pula diadakan berdekatan dengan kedai makan, jadi kebetulan datang sarapan ke sini, saya terus beli barang di sini. Dari jauh tengok papan tanda harga, memang jauh lebih murah dengan pelbagai barangan, macam-macam beli telur, sardin dan tepung,” katanya.
Peniaga kedai makan kecil-kecilan, Zalina Yeon, 65, berkata program itu bukan sahaja membantu golongan kurang berkemampuan malah memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana memberi barangan keperluan jualan pada harga lebih rendah.
“Memang saya selalu ke program yang diadakan di kawasan sekitar. Saya tengok harga, kalau berpatutan memang saya beli dan memang jualan ini tawarkan harga rendah, bila kita beli barang mentah pada harga murah, kita boleh jual makanan dengan murah juga,” katanya.
PJRM anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diadakan di Dataran Ampangan bermula 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu menawarkan antaranya ayam segar pada harga RM7 sekilogram (kg), telur gred B (RM9), minyak masak 5kg (RM25) dan tepung gandum 1kg (RM2.50).
Sementara itu, Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata sebanyak RM51.95 juta nilai jualan PJRM telah direkodkan menerusi 21 siri membabitkan 732 program di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga minggu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial