LABUAN, 19 Jun (Bernama) -- Labuan sedang menggiatkan persiapan dan promosi bagi memastikan penganjuran Festival Flora Borneo (BFF) 2025 bermula 26 hingga 30 Julai ini di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan berjaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib berkata segala persiapan berjalan lancar dengan aktiviti promosi dilaksanakan menerusi pertemuan secara bersemuka, media sosial, bahan bercetak dan papan iklan.
“Sejak dua bulan lepas, kami telah menggiatkan promosi dengan mengedarkan risalah, menampal poster dan menggantung kain rentang di pelbagai kawasan khususnya pusat bandar,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Sukuran berkata BFF 2025 anjuran Perbadanan Labuan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dijangka menarik kedatangan kira-kira 50,000 pengunjung termasuk dari Kalimantan dan Brunei sepanjang lima hari festival berlangsung.
Beliau berkata festival itu akan mempamerkan pelbagai jenis bunga dan spesies tumbuhan dari seluruh negara.
“Perbadanan Labuan turut mengambil inisiatif memperindah dan menghidupkan suasana festival dengan menanam tumbuhan berbunga menggunakan 250,000 polibeg,” katanya.
Sukuran berkata BFF 2025 bertujuan menjadikan Labuan sebagai hab pelancongan utama sekali gus mewujudkan peluang ekonomi bagi usahawan tempatan dan pengusaha tanaman.
“Festival ini bukan sekadar tentang memperindah Labuan, tetapi juga merangsang ekonomi tempatan, menggalakkan amalan lestari dan menjadikan Labuan sebagai destinasi ekopelancongan wajib dikunjungi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial