LUMUT, 14 Jun (Bernama) -- Seni tekat benang emas hasil sentuhan halus penghuni Penjara Tapah menjadi antara tarikan utama pada hari kedua Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak yang diadakan di Lumut Waterfront.
Jabatan Penjara Malaysia yang mengangkat kraf tangan tradisional Perak itu membawakan khas pelbagai produk berunsurkan seni tekat benang emas antaranya sarung bantal, beg tangan kecil, dompet dan rantai kunci pada PMR 2025 Perak yang berlangsung selama tiga hari hingga esok.
Pegawai Penjara Siti Faiazah Ibrahim berkata tujuan mengetengahkan produk berkenaan bagi mempromosikan kesenian dari Kuala Kangsar itu sekali gus memperkenalkan lagi keindahan warisan Perak kepada khalayak lebih luas.
"Tekat hasil penghuni wanita Penjara Tapah ini kebanyakannya menggunakan motif tradisional seperti bunga raya dan kekwa, malah ada yang kami modenkan dengan pelbagai motif seperti bentuk hati dan huruf untuk menarik minat generasi muda.
"Penjara Tapah juga merupakan satu-satunya penjara yang menumpukan seni tekat sebagai bidang kemahiran pemulihan kepada penghuni wanita dan lelaki," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Siti Faiazah yang bertugas di Penjara Tapah berkata tekat benang emas yang halus dijahit rapi pada permukaan kain baldu menggunakan teknik sulaman tradisional untuk menghasilkan corak timbul yang kelihatan mewah dan berseni.
Proses menekat menurutnya, memerlukan ketelitian yang tinggi, kemahiran tangan yang halus serta kesabaran kerana setiap inci jahitan perlu dirapatkan dengan sempurna bagi memastikan penghasilan yang kemas dan rapi.
"Penghuni wanita yang terlibat dalam penghasilan tekat ini telah dilatih oleh pegawai-pegawai Jabatan Penjara Malaysia yang telah mendapat kursus kemahiran seni tekat daripada Kraftangan Kuala Kangsar," katanya.
Produk berunsurkan tekat benang emas yang dipromosikan di reruai Jabatan Penjara Malaysia itu dijual mengikut jenis barangan seperti set bantal berharga hingga RM800 manakala dompet dan rantai kunci masing-masing dijual pada harga RM40 dan RM25.
Harga produk tekat itu mungkin kelihatan tinggi, namun katanya ia sepadan dengan kualiti serta kos bahan yang digunakan memandangkan setiap produk dihasilkan sepenuhnya secara buatan tangan, selain bahan asas seperti kain baldu boleh mencecah hingga RM48 semeter manakala segulung benang emas untuk sulaman pula bernilai kira-kira RM400.
Bagaimanapun, Siti Faiazah berkata produk tekat benang emas yang dipamerkan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung dengan sebahagian besar barangan berkenaan laris terjual.
"Semalam produk berunsurkan tekat benang emas seperti stok barangan beg tangan kecil serta dompet hampir terjual semuanya, kita hadkan kepada 15 hingga 20 stok sehari sepanjang tiga hari PMR 2025 Perak berlangsung," katanya.
Selain pameran produk tekat benang emas, beliau berkata Jabatan Penjara Malaysia juga antaranya mempromosikan pelbagai produk seperti pastri dan kraf tangan seramik, masing-masing hasil penghuni dari Penjara Batu Gajah dan Penjara Taiping.
Bertemakan "Pendidikan Tinggi, Pemacu Negara MADANI", PMR Perak 2025 menampilkan lebih 200 perkhidmatan secara langsung merangkumi sesi perkongsian ilmu, pameran, pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat serta pelbagai aktiviti untuk semua lapisan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial