KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Kolej Institut Jantung Negara (IJN) kini secara rasmi dinaik taraf kepada Kolej Universiti IJN (IJNUC) selepas mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi pada 13 Mei 2025.
Peningkatan status itu mengukuhkan lagi peranan institusi tersebut sebagai pusat utama pendidikan tinggi dalam bidang kardiovaskular, kesihatan sokongan dan pengurusan penjagaan kesihatan.
IJN Holdings dalam kenyataan hari ini menyifatkan perkembangan tersebut sebagai pencapaian penting dalam perkembangan institusi itu serta kesediaannya untuk melatih generasi profesional penjagaan kesihatan yang akan datang.
“Ditubuhkan pada 2008, Kolej IJN diasaskan bagi memenuhi permintaan Malaysia yang semakin meningkat terhadap pendidikan khusus dalam bidang penjagaan kesihatan.
“Sebagai sebahagian daripada kumpulan IJN Holdings bersama Institut Jantung Negara yang terkenal di peringkat antarabangsa dan diiktiraf sebagai pusat jantung utama Malaysia, institusi ini menawarkan latihan berdasarkan situasi sebenar yang dibimbing oleh pakar dan profesional penjagaan kesihatan terkemuka,” menurut kenyataan itu.
Program utama IJNUC, Sijil Siswazah dalam Sains Kardiovaskular dan Torasik, telah melahirkan lebih 400 pelatih, yang kini berkhidmat dalam sektor penjagaan kesihatan di dalam dan luar negara.
Sehingga kini, lebih 600 profesional penjagaan kesihatan telah menamatkan pengajian di institusi tersebut, mencerminkan kecemerlangan akademik dan kesesuaian program dengan keperluan industri.
Dengan status baharu itu, IJNUC turut menerima kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menawarkan tiga program baharu peringkat ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan (Kepujian) dan Diploma Kejururawatan, yang akan bermula pada pengambilan September 2025 di kampus Yayasan Selangor, bersebelahan Hospital IJN di Kuala Lumpur.
IJNUC juga merancang untuk memperkenalkan beberapa program baharu seperti Ijazah Sarjana Muda Teknologi Farmaseutikal, Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Francais), Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi; Ijazah Sarjana dalam Pembedahan Kardiotorasik, Psikologi Kesihatan dan Pengurusan Penjagaan Kesihatan; serta Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Pengurusan Penjagaan Kesihatan.
Selaras dengan kepakaran klinikalnya, IJNUC juga sedang membangunkan program perubatan pascasiswazah dalam bidang pembedahan kardiotorasik, kardiologi, kardiologi pediatrik dan anestesiologi, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pusat latihan pakar perubatan masa depan negara.
Selain program akademik, IJNUC turut menawarkan kursus pendek, pensijilan dan perkhidmatan perundingan seperti Penolong Penjagaan Pesakit, Kejururawatan Jantung, Ergonomik, Sokongan Hidup Kardiovaskular Lanjutan (ACLS) dan Sokongan Hidup Asas (BLS) bagi menyokong pembangunan profesional penjagaan kesihatan.
“Pencapaian ini mengukuhkan lagi komitmen IJNUC dalam melahirkan profesional penjagaan kesihatan yang berkemahiran, berperikemanusiaan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, sejajar dengan matlamat negara untuk menyediakan pendidikan penjagaan kesihatan khusus yang berkualiti tinggi dan mudah diakses,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial