AM

Waspada Manipulasi AI, Tegakkan Institusi Kewartawanan Negara - Lichong

04/06/2025 04:59 PM

KOTA KINABALU, 4 Jun (Bernama) -- Forum sempena kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 pada 14 Jun ini perlu menjadi platform kepada industri media untuk menegakkan dan meneguhkan institusi kewartawanan di tengah-tengah gelombang kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui berkata ia penting untuk mengelak sebarang manipulasi kecanggihan AI oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga meruntuhkan nilai serta etika kewartawanan.

“Forum khas itu seharusnya menjadi landasan terbaik bagi semua pemain industri media di negara ini menyatukan suara memartabatkan institusi kewartawanan. Kita perlu berwaspada terhadap manipulasi AI dan pada masa yang sama hendaklah sepakat menegakkan institusi kewartawanan.

"Forum media adalah ruang terbaik bagi pemain industri, pemegang taruh dan pihak berkepentingan membincangkan trend semasa dunia kewartawanan sekali gus mencari solusi terhadap sebarang manipulasi AI yang semakin meluas penggunaannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzli mengumumkan tema HAWANA 2025 iaitu “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” dan turut memperkenalkan logo HAWANA 2025 di Wisma Bernama.

Sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 13 hingga 15 Jun ini dengan kemuncak sambutan pada 14 Jun yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lichong yang juga Ahli Majlis Pentadbir Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) berkata kemajuan teknologi dan internet sememangnya banyak membantu mempercepat proses penyampaian berita dan maklumat dalam kalangan organisasi media yang secara tradisinya berlumba-lumba mengejar `breaking news' atau berita tergempar.

Bagaimanapun katanya perlumbaan seperti itu dikhuatiri boleh membawa kepada penyebaran berita palsu secara berleluasa apatah lagi jika AI dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab justeru langkah berwaspada dan semakan secara proaktif perlu diperkukuh bagi memastikan kesahihan berita dan maklumat yang disampaikan.

Beliau berkata sudah menjadi kebiasaan bagi netizen berkongsi berita dan maklumat yang tular tanpa menyemak sumber dan keasliannya dan disitulah letaknya peranan media memastikan setiap bahan yang disajikan itu benar-benar sahih dalam mengangkat martabat kewartawanan.

Dalam pada itu, Lichong menyifatkan tema HAWANA 2025 sebagai bertepatan dalam dunia kewartawanan era baharu ketika teknologi AI telah menjadi satu keperluan bagi industri masa kini.

"Tema ini jelas menekankan pentingnya diseimbangkan antara kecanggihan AI dengan etika kewartawanan," katanya sambil menambah bahawa kewartawanan yang amanah dan bertanggungjawab adalah aset penting dalam pembangunan negara bangsa.

--BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan