KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.
Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook berkata beliau dan keluarga menjunjung kasih serta mendoakan agar pemerintahan Seri Paduka Baginda sentiasa diberkati Allah SWT.
Beliau turut mendoakan Sultan Ibrahim dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang sempurna serta bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan dan kebijaksanaan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi hantaran Facebook turut merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.
“Semoga Duli Tuanku kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan jua serta memerintah (negara) dengan adil serta saksama.
“Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda sentiasa berada di bawah peliharaan rahmat dan perlindungan Allah SWT, hidup dengan penuh kebahagiaan, dianugerahkan segala taufik dan hidayah, selamat sejahtera, dilanjutkan usia serta dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.
Fadillah berkata beliau dan seluruh Malaysia mendoakan agar Seri Paduka Baginda sentiasa dilimpahi keberkatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial