AM

Memoir Baharu MACVA Papar Kisah Askar Veteran Yang Belum Pernah Diungkap

02/06/2025 12:00 AM

PETALING JAYA, 1 Jun (Bernama) -- Kisah keberanian, pengorbanan dan ketabahan pasukan  keselamatan negara di medan perang yang semakin dilupakan serta terpendam di lubuk memori askar veteran dinukilkan dalam buku yang dilancarkan oleh Persatuan Veteran Kaum Cina Tentera Darat Malaysia (MACVA).

Bertajuk Memoirs - Malaya and Borneo at War, ia adalah kesinambungan buku pertama persatuan itu Memoirs of the Malaysian Armed Forces Veterans dan memaparkan pengalaman peribadi bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia yang telah bersara, kebanyakannya berkhidmat pada tahun-tahun paling mencabar buat negara.

Bekas Presiden MACVA Kapten (B) Datuk Lee Kwang Lock berkata memoir itu dihasilkan sebagai lakaran sejarah dan penghormatan buat ribuan askar veteran lelaki mahupun wanita yang pernah berkhidmat semasa Darurat di Tanah Melayu, Konfrontasi dengan Indonesia serta Perang Menentang Pengganas Komunis.

“Ia bukan sekadar buku sebaliknya adalah satu legasi bagi memastikan pengorbanan dan perjuangan askar veteran kita tidak akan pernah dilupakan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran buku itu di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MACVA Leftenan Kolonel (B) Wong Ah Jit.

Turut terkandung dalam memoir itu ialah ingatan terperinci mengenai operasi ketenteraan di hutan tebal dan kawasan terpencil di mana anggota tentera serta polis bertempur untuk mempertahankan kedaulatan sebuah negara yang masih muda.

Ia turut menonjolkan peranan penting yang dimainkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dalam membantu pasukan darat semasa berlaku pertempuran.

Lee, yang juga pengerusi penganjur bagi acara itu, berkata sejarah pascaperang Malaysia sering diceritakan melalui perspektif asing dan memoir kedua dihasilkan bagi membetulkan maklumat yang salah dengan mengetengahkan suara serta pengalaman rakyat negara ini sendiri.

Memoir pertama, yang dilancarkan pada Mac 2020, berjaya membantu meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana untuk MACVA namun momentumnya telah terjejas oleh sekatan akibat pandemik COVID-19 tidak lama selepas itu.

Jilid kedua meneruskan misi itu dengan merungkaikan sejarah berkaitan keselamatan di Malaysia melalui kaca mata mereka yang mengalaminya sendiri selain boleh dijadikan sebagai peringatan bahawa keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil ketabahan dan perpaduan generasi sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan