AM

Mualaf Tidak Pernah Dipinggirkan - Mohd Na'im

30/05/2025 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menegaskan saudara baharu atau mualaf di negara ini tidak pernah dipinggirkan.

Beliau berkata hal ini adalah berdasarkan kepada usaha berterusan kerajaan dan agensi agama dalam membantu mereka menjalani kehidupan baharu, antaranya menerusi bantuan zakat.

Mengambil contoh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Na'im berkata agensi agama itu menyediakan sebanyak 38 skim bantuan zakat meliputi kluster kebajikan, perumahan, ekonomi dan perubatan.

“Mengikut data agihan zakat setakat Mei 2025, MAIWP telah mendaftarkan 1,098 mualaf berbanding hanya 968 mualaf pada tahun 2024 di Wilayah Persekutuan. Bagi tahun 2025, jumlah agihan adalah sebanyak RM9.3 juta bagi asnaf mualaf,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata agensi-agensi agama sentiasa bersedia untuk menyantuni dan membantu para mualaf serta golongan asnaf yang berada dalam kesulitan dan tidak akan membiarkan mereka menghadapi cabaran hidup bersendirian.

Sehubungan dengan itu, Mohd Na’im menyeru semua saudara baharu agar berurusan terus dengan kaunter zakat, pejabat agama atau institusi sah.

“Akhir sekali, saya menyeru kepada agensi zakat, masjid dan para pegawai agama agar sentiasa bersedia dan cakna dengan keperluan mualaf. Kita mesti memastikan mereka sentiasa disantuni, bukan dibiarkan berseorangan dalam meniti kehidupan baharu mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan