AM

20,000 Dijangka Penuhi KLCC Sempena Sidang Kemuncak ASEAN - KSN

05/05/2025 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kira-kira 20,000 orang termasuk delegasi, perwakilan, peserta, urus setia dan petugas akan berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata persiapan bagi acara terbesar itu setakat ini berjalan lancar dengan 19 ketua negara dijangka hadir termasuk dari negara Teluk dan China.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka meninjau persiapan serta mengadakan mesyuarat khas. 

“Ini merupakan kemuncak kepada persediaan kita dalam mempersiap negara untuk sidang kemuncak ASEAN kali ini,” katanya kepada Bernama selepas meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di KLCC di sini hari ini.

Shamsul Azri yang tiba pada 4.40 petang meluangkan masa 40 minit meninjau lokasi persidangan sebelum menghadiri taklimat persiapan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zain.

“Insya-Allah kita bersedia dengan penuh dedikasi. Terima kasih kepada Kementerian Luar dan kementerian lain yang terlibat,” katanya.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 turut menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog pada Oktober.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

Tema ASEAN 2025 ialah “Keterangkuman dan Kemampanan” sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau serta global selain mencerminkan komitmen kolektif rantau ini untuk membentuk masa depan yang berdaya tahan dan saksama.

Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan