JENAYAH & MAHKAMAH

Rangka Manusia Ditemukan Di Kawasan Semak Belakang Rumah

03/05/2025 08:23 PM

KUANTAN, 3 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki yang sedang membersihkan kawasan semak terperanjat besar apabila menemukan tulang-tulang yang disyaki rangka manusia di belakang sebuah rumah di Felda Bukit Mendi, Triang, Bera, semalam. 

Ketua Polis Daerah Bera Supt Zulkiflee Nazir berkata tulang berkenaan ditemukan lelaki berusia 51 tahun itu semasa sedang meracun rumput kira-kira 4 petang. 

“Lelaki itu kemudiannya membuat laporan polis, dan siasatan awal mendapati rangka tersebut berada di kawasan semak, dengan pakaian seperti baju, seluar dan jaket dipercayai milik si mati dijumpai berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkiflee berkata pihaknya pernah menerima laporan kehilangan seorang lelaki berusia 48 tahun pada Julai tahun lepas, dan siasatan lanjut sama ada penemuan itu mempunyai kaitan dengan kes hilang berkenaan, sedang dijalankan.

“.. tulang berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera bagi proses pengesahan asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti identiti si mati,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan