AM

Kadar Sumbangan Pembetung Awam Dikurangkan - SPAN

02/05/2025 02:52 PM

PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menurunkan kadar sumbangan untuk sambungan ke pembetung awam yang dikenakan kepada pemaju, bermula 1 Mac 2025. 

Sebelum ini kadar sumbangan ditetapkan secara pukal sebanyak satu peratus daripada harga jualan.

SPAN dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu dijangka dapat membantu mengurangkan harga jualan rumah dan bakal memudahkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

"Bagi harga jualan rumah tidak melebihi RM80,000, kadar sumbangan yang ditetapkan adalah RM1,000 bagi setiap projek.

"Bagi harga jualan rumah lebih daripada RM80,000 hingga RM150,000, kadar sumbangan adalah 0.25 peratus daripada harga jualan," kata SPAN.

Bagi projek kerajaan, bayaran diselaraskan kepada kadar tetap RM900 bagi setiap penduduk setara, berbanding satu peratus daripada kos kontrak setiap unit sebelum ini.

Ia bagi memastikan perubahan kos kontrak tidak lagi mempengaruhi kadar bayaran.

Selain itu kadar khas turut diperkenalkan untuk kategori bangunan tertentu iaitu bagi rumah ibadat, kadar sumbangan adalah RM100 bagi semua bangunan yang dibina dalam suatu projek.

Bagi bangunan kebajikan dan komuniti, kadar sumbangan yang ditetapkan masing-masing ialah RM100 bagi setiap bangunan.

SPAN berkata biarpun kerajaan menjangka penurunan hasil kutipan sebanyak 15 peratus, pindaan berkenaan dijangka bakal menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik.

Maklumat terperinci berkenaan semua kadar baharu ini boleh didapati di Portal Rasmi SPAN, www.span.gov.my

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan