KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan kebajikan keluarga Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, yang terkorban dalam usaha menangkap penjenayah di Alor Setar, Kedah semalam, terjamin.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan pemergian Mohd Hafizul sebagai kehilangan besar buat PDRM dan negara berkata pihaknya akan memastikan segala urusan termasuk pembayaran gratuiti, ex-gratia, ganjaran dan sumbangan kepada warisnya disalurkan dengan segera.
PDRM menurut beliau turut menguruskan jenazah dan pengebumian Allahyarham dengan penuh penghormatan, selaras dengan jasa bakti beliau kepada negara.
“Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allahyarham Koperal Mohd Hafizul atas khidmat bakti beliau yang tidak ternilai. Bagi pihak kementerian dan seluruh warga KDN, saya mengucapkan takziah kepada keluarganya.
“Allahyarham merupakan cerminan keberanian dan semangat juang tinggi seorang anggota barisan hadapan yang menjaga keselamatan negara. Tindakan beliau yang tidak gentar berdepan risiko demi memastikan keselamatan awam terpelihara amat kami hargai dan sanjungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata pengorbanan sedemikian menjadi inspirasi kepada semua anggota keselamatan negara dan mencerminkan nilai-nilai luhur dalam perkhidmatan PDRM.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM atas kesetiaan dan pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
Mohd Hafizul meninggalkan isteri Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36, dan tiga anak lelaki Muhammad Akif Naufal, 11, Muhammad Ammar Nazran, 9, dan Muhammad Afiq Nazim, 4.
Mohd Hafizul yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh kenderaan dinaiki penjenayah disyaki terlibat dalam kes pecah rumah.
Seorang suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian manakala tiga lagi yang melarikan diri diberkas di Kepala Batas, Alor Setar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial