AM

Dakwaan Lambakan Pelajar China Di UA Tidak Benar, Hak Pelajar Tempatan Tidak 'Dikorban'

07/08/2025 04:46 PM

GEORGE TOWN, 7 Ogos (Bernama) -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menyangkal dakwaan kononnya lambakan pelajar dari China menutup peluang kemasukan pelajar tempatan ke universiti awam (UA) di negara ini.

Beliau menegaskan tuduhan program asasi di UA dipenuhi pelajar dari China adalah tidak betul dan kerajaan tidak pernah ‘mengorbankan’ kuota pelajar tempatan bagi memberi laluan kepada pelajar antarabangsa demi meraih keuntungan untuk pihak unversiti.

“Kita tidak pernah langsung mengorbankan dasar seperti mana yang ditetapkan oleh Unit Pusat Universiti (UPU), keutamaan di IPTA (institut pengajian tinggi awam) itu ialah kepada pelajar Malaysia sebab IPTA berfungsi untuk memberi pendidikan kepada anak-anak Malaysia.

“Menafikan hak anak-anak tempatan kita itu tidak benar, kita tidak pernah langsung mengorbankan dari segi kuota yang ditetapkan UPU,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan IEEE International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits (IPFA) 2025 di Pusat Konvensyen Setia Spice di Bayan Lepas, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Parlimen semalam yang kononnya pelajar dari China lebih ramai masuk UA kerana ada duit berbanding rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Zambry berkata Malaysia kini menerima pelajar antarabangsa dari lebih 150 negara termasuk di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) selaras dengan dasar pengantarabangsaan dan mereka memilih Malaysia kerana sistem pendidikan dipercayai dan kompetitif.

“Mereka datang memilih Malaysia kerana yakin dengan sistem pendidikan Malaysia, mereka tidak pergi ke tempat lain kerana mungkin sebelum ini mereka pergi ke dunia barat tetapi ada persaingan disebabkan masalah geopolitik,” katanya.

 Beliau juga menyifatkan dakwaan sedemikian hanya menimbulkan keresahan awam serta mencetuskan polemik yang tidak memberi manfaat kepada negara.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang mempunyai persoalan termasuk mana-mana Ahli Parlimen mengenai isu tersebut agar mengadakan pertemuan dan memilih jalan perbincangan bagi mencari penyelesaian serta tidak terus dipolitikkan di Parlimen.

 “Saya tidak mahu cuba mewujudkan polemik yang merugikan apabila kita membuat sesuatu tuduhan, kita akan menimbulkan pula satu keresahan yang lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan