KANGAR, 6 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Perlis akan menjalankan kajian bagi memberi rebat bil air kepada pengguna domestik golongan B40 dan penerima bantuan e-Kasih di negeri itu susulan peningkatan caj minimum air daripada RM7.20 kepada RM8.80 berkuat kuasa 1 Ogos lepas.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata langkah berkenaan ialah usaha kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban golongan itu.
“Kita nak jaga kebajikan rakyat, kita merancang mungkin akan bagi rebat kepada golongan B40 dan penerima bantuan e-Kasih,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata kerajaan negeri memerlukan dana mencukupi bagi menyelesaikan isu Air Tidak Terhasil (NRW) selain tarif air di Perlis yang tidak pernah disemak lebih 30 tahun.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Hubungan Sempadan Perlis Izizam Ibrahim berkata kira-kira 63 peratus air terawat yang diagihkan kepada pengguna tidak menghasilkan pendapatan kepada kerajaan negeri.
“Masalah ini tidak berlaku dalam sehari dua, ia berpunca daripada rangkaian paip lama dan reput, sebahagiannya telah berusia lebih 40 tahun. Sistem pengedaran air yang tidak efisien … kita tidak boleh menangguhkan tindakan.
“Sekiranya tiada pembaharuan dilakukan, sistem akan terus bocor, tekanan air akan terus rendah dan gangguan bekalan akan menjadi perkara biasa. Kerugian operasi yang kini mencecah jutaan ringgit setahun akan bertambah buruk,” katanya pada persidangan itu.
Izizam berkata pelarasan tarif air itu dilakukan secara berperingkat dengan kawalan rapi bagi membaik pulih sistem bekalan air, menggantikan paip lama, meningkatkan kecekapan agihan dan menjamin kelangsungan bekalan air yang stabil untuk semua.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial