MOSCOW, 5 Ogos (Bernama-Sputnik) -- Presiden Rusia Vladimir Putin dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijangka membincangkan kerjasama dalam bidang teknologi tinggi, interaksi dalam ASEAN, perdagangan serta kerjasama teknikal ketenteraan semasa lawatan negara Seri Paduka Baginda ke Rusia, menurut Pengarah Institut Kajian Asia dan Afrika, Moscow State University, Alexey Maslov.
“Pertama sekali, Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun ini, oleh itu perbincangan akan meliputi kerjasama dengan keseluruhan blok serantau itu.
“Selain itu, kami telah merangka beberapa projek dengan Malaysia, termasuk pembekalan sumber tenaga Rusia ke Malaysia serta pembelian beberapa produk dari Malaysia seperti buah-buahan dan tekstil. Namun topik paling penting dijangka ialah kerjasama dalam bidang teknologi tinggi,” katanya kepada agensi berita Rusia, Sputnik.
Maslov berkata Malaysia merupakan antara negara paling maju di rantau itu dari segi sains dan pendidikan tinggi, sambil menambah bahawa pengeluaran bersama mikropemproses, papan sistem dan teknologi berkaitan adalah berpotensi untuk diteroka.
Sultan Ibrahim merupakan ketua negara Malaysia pertama yang melakukan lawatan negara ke Rusia sejak hubungan diplomatik antara Malaysia dan Rusia terjalin pada 1967. Seri Paduka Baginda dijadual berada di Rusia dari 5 hingga 10 Ogos, dan akan mengadakan pertemuan dengan Putin pada 6 Ogos.
Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkembangan hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia, serta isu berkaitan mengenai agenda antarabangsa dan serantau.
-- BERNAMA-SPUTNIK
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial