KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Rotary Club of HartaMas dengan kerjasama Kita Pelari Malaysia dan KLCC Runners Group akan menganjurkan dua acara utama kesihatan dan advokasi komuniti pada September dan Oktober ini untuk mempromosikan keamanan, perpaduan dan kesedaran kesihatan awam.
Dalam kenyataan hari ini, Rotary Club of HartaMas memaklumkan Peace Run & Walk 2025 akan diadakan di Dataran DBKL, di sini pada 28 Sept bersempena dengan Bulan Keamanan Antarabangsa, bertujuan menggalakkan perpaduan, belas ihsan dan masa depan yang aman menerusi penglibatan masyarakat.
Program seterusnya ialah End Polio Run & Walk 2025 di lokasi yang sama pada 29 Okt, bagi menyambut Bulan Polio Antarabangsa, dengan hasrat meningkatkan kesedaran mengenai polio dan menyokong usaha pembasmian penyakit itu di seluruh dunia.
"Secara global, Rotary telah memperjuangkan kempen End Polio Now sejak 1985 dengan memainkan peranan utama dalam usaha menghapuskan polio di seluruh dunia.
"Kedua-dua acara ini bertujuan menyatukan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat di bawah tema perkongsian pembangunan keamanan dan kesihatan awam," menurut kenyataan itu.
Sebahagian daripada kutipan daripada acara berkenaan akan disalurkan kepada kempen End Polio Now dan Program Kanser Kanak-kanak Rotary Club of HartaMas, inisiatif mengubah kehidupan yang menyediakan sokongan penting kepada kanak-kanak yang berjuang melawan kanser.
Bersempena dengan Bulan Keahlian Rotary pada Ogos, acara itu juga menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran awam tentang misi Rotary dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam khidmat masyarakat yang bermakna.
Presiden Rotary Club of HartaMas Harrison Jub berkata acara ini melangkaui kecergasan kerana bertujuan menggerakkan rakyat Malaysia untuk mencipta impak yang bermakna.
"Apabila kita berlari untuk keamanan dan harapan, kita bukan hanya berlari mengikut jarak, tetapi kita menutup jurang antara sikap berputusa asa dengan pemulihan. Bersama-sama dengan rakan kami, Kita Pelari Malaysia dan KLCC Runners Group, kami berbesar hati menggerakkan inisiatif ini," katanya.
Acara itu terbuka kepada pelari, pejalan kaki, keluarga, pasukan korporat dan golongan belia, dengan pelbagai aktiviti berfokuskan komuniti akan diadakan di lokasi.
Peserta akan menerima kit acara terdiri daripada kemeja-T, pingat dan beg cenderahati. Acara tambahan termasuk sesi kecergasan, reruai komuniti dan peluang penglibatan untuk semua tahap umur.
Pendaftaran akan dibuka tidak lama lagi melalui RaceXAsia dan Checkpoint Spot, selain penajaan korporat dan perkongsian rakan media turut dialu-alukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial