KOTA BHARU, 5 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menegaskan bahawa usaha memerangi gejala dadah memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua pihak, tidak hanya agensi penguatkuasaan semata-mata.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata peranan ibu bapa, guru, pemimpin komuniti dan belia sendiri amat penting dalam mencegah permulaan ketagihan dadah.
“Kami tidak mahu hanya mengawal gejala. Kami mahu menyentuh punca dan membina negeri yang lebih selamat serta bermaruah untuk generasi mendatang,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak sesekali berkompromi dengan isu dadah dan komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam membanteras masalah ini di peringkat akar umbi.
Zamakhshari berkata pihak polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah memberi maklumat penyebaran dadah kini lebih kompleks dan melibatkan pelbagai saluran yang sukar dikesan secara konvensional.
Selain itu, hasil kajian institusi kesihatan juga menunjukkan peningkatan penggunaan dadah sintetik dalam kalangan belia dan ia adalah satu trend yang sangat membimbangkan.
“Statistik semasa menunjukkan keperluan mendesak untuk kita bergerak secara lebih tersusun dan kolektif. Ia bukan hanya tugas AADK, tetapi tugas seluruh masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pindaan terhadap Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dijangka memberi kuasa lebih menyeluruh kepada penguat kuasa dalam melaksanakan tindakan lebih tegas.
Zamakhshari berkata pihak kerajaan negeri amat mengalu-alukan lebih banyak inisiatif komuniti seperti kempen kesedaran di masjid, sekolah dan pusat komuniti tempatan bagi mendidik generasi muda mengenai bahaya dadah.
“Ibu bapa adalah benteng pertama. Mereka perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak serta proaktif mendapatkan bantuan jika ada gejala awal penagihan,” katanya.
Beliau turut menyeru agar pemimpin masyarakat tempatan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan mengenai penyalahgunaan dadah.
Semalam, Kelantan dilaporkan mencatatkan sebanyak 11,280 penagih dan penyalahgunaan dadah setakat Mac 2025, menjadikan negeri itu di kedudukan ketiga tertinggi di negara ini bagi kadar penagih dan penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk dengan 597 kes.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan sehingga Mac lepas, sejumlah 108,409 penagih dan penyalahgunaan dadah dikesan di seluruh negara.
Beliau berkata Terengganu merekodkan kadar tertinggi iaitu 663 kes diikuti Perlis dengan 609 kes, Kedah (553) dan Pahang (495).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial