AM

Nutri-Grade Akan Dilaksana Dalam Waktu Terdekat - Dzulkefly

05/08/2025 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pengelasan nutrisi makanan atau Nutri-Grade di bawah inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata Nutri-Grade antaranya akan digunakan bagi mengkategorikan produk makanan yang dijual di pasar raya supaya mudah difahami pengguna, selain pelaksanaannya bertujuan meningkatkan literasi pemakanan sihat dalam kalangan rakyat.

"Apabila kita perkenalkan Nutri-Grade itu, kita akan dapati bahawa kategori makanan bermula dari gred A iaitu yang terbaik dan kemudian gred D yang langsung tidak boleh diiklankan.

"Kita akan kategorikan yang tidak sihat itu gred D, iaitu (kandungan makanan) tidak sihat supaya orang tahu, kalau boleh elakkan makanan itu," katanya kepada pemberita selepas sesi makan tengah hari Pemakanan Sihat, Tanggungjawab Bersama dan pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 (Pemakanan) di Dewan Bankuet, Parlimen hari ini.

Dr Dzulkefly berkata pendekatan berkenaan perlu dilaksanakan susulan hasil dapatan NHMS yang menunjukkan masih berlaku kekurangan nutrisi makanan dalam kalangan masyarakat.

"Cabaran masih lagi menekan terhadap tuntutan kami sebagai pengurus kesihatan untuk memastikan amalan dan praktis pemakanan sihat terus diangkat antaranya berkaitan beban berganda malnutrisi khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak," katanya.

Dzulkefly berkata KKM juga terbuka untuk mengadakan libat urus bersama pempengaruh media sosial bagi membantu kementerian merealisasikan agenda pemakanan sihat di negara ini.

Dalam kajian yang melibatkan 5,400 isi rumah itu, NHMS antaranya mendapati sebanyak 78 peratus remaja dan 74 peratus dewasa tidak mendapat vitamin A yang mencukupi disebabkan kurangnya pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran.

Tinjauan yang dijalankan dari 15 Julai hingga 25 Sept 2024 itu turut menunjukkan 98 peratus remaja dan 96 peratus dewasa mengalami kekurangan kalsium akibat kurang pengambilan susu.

Statistik pengambilan gula pula menunjukkan dua daripada tiga remaja serta seorang daripada dua dewasa mengambil gula tambahan dalam makanan dan minuman melebihi 37.5 gram atau 7.5 sudu teh sehari.

Sementara itu, pengambilan garam berlebihan turut direkodkan apabila tiga daripada empat dewasa mengambil diet tinggi garam dengan purata 7.3 gram atau 1.5 sudu teh sehari, sedangkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah lima gram atau satu sudu teh sahaja.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan