AM

MITRA: RM652,000 Diperuntuk Bantu Usahawan Mikro India Di Johor

03/08/2025 06:46 PM

JOHOR BAHRU, 3 Ogos (Bernama) -- Seramai 128 usahawan mikro komuniti India di Johor menerima manfaat menerusi inisiatif Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), dengan jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM652,000.

Pengerusi MITRA,  P. Prabakaran berkata inisiatif berkenaan bertujuan memperkasa ekonomi komuniti India, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan usaha kerajaan menaik taraf sosioekonomi masyarakat berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 38 penerima hadir pada sesi penyerahan hari ini bagi menerima barangan keperluan perniagaan yang dipohon melalui portal MITRA dan saluran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Negeri Johor (JICCI).

“Ini adalah sebahagian usaha menaik taraf sosioekonomi masyarakat India, khususnya peniaga kecil yang memerlukan bantuan dari segi peralatan dan modal asas,” katanya kepada Bernama selepas sesi penyerahan bantuan itu di sini, hari ini.

Menurut beliau, inisiatif terbabit juga selari dengan dasar kerajaan dalam memperkukuh jaringan keusahawanan mikro serta memastikan masyarakat India menerima manfaat pembangunan secara saksama.

Secara keseluruhan, MITRA menerima peruntukan tahunan sebanyak RM100 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan komuniti di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Prabakaran berkata MITRA telah meluluskan tiga program utama bernilai RM21 juta yang merangkumi pembiayaan pusat dialisis, tadika dan kajian impak.

Katanya agihan bagi inisiatif pusat dialisis dan tadika dijangka bermula dalam tempoh dua minggu akan datang.

MITRA menyasarkan inisiatif pusat dialisis dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penerima, manakala program tadika pula mampu memberi impak kepada lebih 100,000 kanak-kanak,

Bagi kajian impak pula, Prabakaran berkata ia kini sedang dijalankan dengan kerjasama sebuah universiti awam, bertujuan menilai keberkesanan semua program MITRA yang dilaksanakan dari 2021 hingga 2023.

Kajian ini adalah yang pertama dalam sejarah MITRA. Kita mahu pastikan setiap peruntukan yang disalurkan benar-benar memberi kesan positif dan ketara kepada masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan