AM

Himpunan 1,000 Jamaah Perkukuh Penyatuan Ummah

03/08/2025 12:30 PM

MELAKA, 3 Ogos (Bernama) -- Usaha memperkukuh ukhwah dalam kalangan keturunan Arab-Hadrami di Malaysia terus diperkasakan menerusi penganjuran Himpunan 1,000 Jamaah, yang memasuki edisi keenam dengan sokongan pelbagai pertubuhan Islam dan tokoh masyarakat.

Presiden Al Jamiatul Khairiah Datuk Seri Syed Hussein Al-Habshee berkata program ajuran bersama Al-Wafaa Melaka itu, bukan sekadar mengangkat warisan keturunan Arab-Hadrami malah berperanan sebagai wadah penyatuan ummah merentas negeri dan generasi.

“Selain kehadiran tokoh utama, perhimpunan ini memberi pengiktirafan kepada sumbangan komuniti Hadrami dalam sejarah negara khususnya dalam aspek penyebaran Islam, perdagangan dan pembangunan masyarakat sejak ratusan tahun lepas.

“Kita bukan sekadar melihat sejarah, tetapi mahu generasi sekarang mengenal akar keturunan mereka dan menghargai pengorbanan datuk nenek mereka yang datang ke tanah ini membawa dakwah dan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke program tersebut di Ayer Keroh malam tadi.

Hadir sama Duta Besar Republik Yaman ke Malaysia Dr Adel Mohamed Bahamid dan lebih 500 komuniti Arab-Hadrami.

Syed Hussein berkata program Himpunan 1,000 Jamaah itu, akan diperluas ke setiap negeri secara berperingkat dengan edisi seterusnya dijangka berlangsung di Terengganu pada tahun hadapan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai ahli komuniti di negeri-negeri lain untuk turut serta dalam himpunan berskala nasional ini.

“Ia sebagai satu kesinambungan yang penting untuk menyemai semula nilai-nilai dedikasi, ilmu dan akhlak mulia dalam generasi baharu menerusi pelbagai aktiviti seperti perlawanan futsal yang diadakan.

“Arab-Hadrami terkenal sebagai pedagang, pentadbir dan penyebar Islam yang berhemah tinggi, jadi ciri-ciri ini wajar diteruskan supaya masyarakat kita tidak terputus dengan akar budaya dan agama,” katanya.

Sementara itu Dr Adel dalam ucapannya menyatakan penghargaan atas usaha murni ini yang bukan sahaja merapatkan silaturahim sesama Islam, malah menjadi jambatan hubungan dua hala antara rakyat Malaysia dan komuniti Hadrami global.

Beliau berkata perhimpunan tersebut juga mengangkat peranan Malaysia sebagai pusat pertumbuhan budaya Islam yang inklusif, selari dengan prinsip kesederhanaan dan keharmonian antara kaum dan agama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan