KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini memeterai kerjasama strategik dengan Hainan International Media Center (HIMC) dalam usaha memperkukuh promosi industri pelancongan Malaysia dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai berkata agensi berita nasional itu bersedia memainkan peranan proaktif dalam mengetengahkan keunikan produk pelancongan tempatan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, khususnya dari China.
“Ini merupakan kerjasama pertama antara Bernama dengan HIMC dalam mempromosikan industri pelancongan dan pelaburan Malaysia melalui platform media.
“Mereka berminat untuk mendalami serta membantu memperkenalkan produk tempatan dan destinasi pelancongan menarik di negara kita, seperti pantai-pantai indah di Pulau Pinang dan Terengganu, kepada masyarakat di China,” katanya kepada Bernama selepas menandatangani kerjasama itu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya Malaysia juga akan memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam menggalakkan pelancongan ke wilayah Hainan yang menawarkan kos lawatan lebih rendah berbanding destinasi pelancongan lain.
Kerjasama itu dimeterai di bawah New International Land-Sea Trade Corridor Cultural Cooperation Alliance yang menghimpunkan HIMC dan beberapa organisasi Malaysia termasuk Bernama, Kwong Wah Yit Poh, Nanyang Siang Pau, MILA University, Persekutuan Persatuan Hainan Malaysia, serta Persatuan Pembangunan dan Promosi Ekonomi Perdagangan ASEAN–China, Malaysia.
Perikatan itu bertujuan mengukuhkan kerjasama antara organisasi media dengan kebudayaan di Malaysia dan China, menumpukan untuk menyokong pengeluaran kandungan bersama, pembangunan bakat dan penyelarasan dasar.
Selain itu, perikatan berkenaan juga memberikan penekanan penting terhadap kerjasama belia, dengan institusi seperti MILA University di Malaysia dan Lingshui Haifeng International Film and Television Base di Hainan bakal bekerjasama dalam program pertukaran, bengkel kreatif dan inisiatif latihan untuk memupuk bakat serantau.
Sementara itu, Penasihat Kanan HIMC dalam Komunikasi Antarabangsa Hainan–ASEAN Dr Pua Eng Teck berkata Malaysia dipilih sebagai hab strategik kerana hubungan sejarah dan budaya yang kukuh dengan komuniti Malaysia–China, terutamanya dalam bidang perniagaan, kebudayaan dan pertukaran maklumat.
"Kuala Lumpur ialah ibu kota Malaysia, menawarkan kelebihan geografi yang strategik dan lebih banyak peluang untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat dan antara perniagaan," katanya.
Selain kerjasama perniagaan, beliau turut menekankan manfaat kepada pelajar, khususnya dari China yang melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia.
"HIMC memainkan peranan utama bukan sahaja dalam mempromosikan hubungan budaya, tetapi juga menyokong pertukaran pendidikan. Ia menyediakan platform kukuh untuk pelajar China belajar di Malaysia bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat dan institusi tempatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial