KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pembentangan pelan pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadi agenda utama pada minggu kedua persidangan Dewan Rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 dengan tema “Melakar Semula Pembangunan” berkata sejumlah RM611 bilion pelaburan diperlukan bagi memacu pembangunan negara untuk tempoh lima tahun itu.
Dalam ucapannya selama hampir 90 minit, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata RMK13 dirangka dengan tiga asas utama, iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah, sistem sosial berteraskan insan MADANI, serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan.
RMK13 menggariskan empat tonggak, iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Menurut takwim Dewan Rakyat, Ahli-ahli Parlimen akan mengambil bahagian pada sesi perbahasan bermula Isnin ini hingga 14 Ogos dan diikuti jawapan menteri selama empat hari dari 18 hingga 21 Ogos.
Sementara itu, Dewan Rakyat meluluskan lapan rang undang-undang (RUU) pada minggu ini, iaitu RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025, RUU Racun (Pindaan) 2025, RUU Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025 dan RUU Perikanan (Pindaan) 2025.
Turut diluluskan, RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025, RUU Pendidikan (Pindaan) 2025, RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025 dan RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025.
RUU Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 yang bertujuan melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil dan memastikan daya saing produk Malaysia turut dibentangkan untuk bacaan kali pertama.
Antara isu tumpuan pada minggu ini adalah mengenai Operasi Selamat Paru-Paru (Op Selamat PaPa) yang akan dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), khususnya membabitkan rokok elektronik atau vape.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata operasi itu bukan sahaja bertujuan melindungi golongan lelaki yang merupakan perokok utama, tetapi juga wanita dan ahli keluarga lain yang terdedah kepada asap basi atau passive smoking.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan telah memuktamadkan Panduan Perancangan Pembangunan Sekolah Secara Menegak dengan beberapa prinsip reka bentuk asas sekolah diambil kira, termasuk pengawasan dan keselamatan murid.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata panduan itu seterusnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa tedekat.
Mengenai reka bentuk sekolah menegak pula, beliau berkata ia perlu bersifat mesra kurikulum, lestari, fleksibel serta berpaksikan prinsip rasa kepunyaan, daya tarikan, keselamatan dan kemudahan penyelenggaraan.
Kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir juga dibangkitkan pada sesi perbahasan RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 oleh beberapa Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang yang menyuarakan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan dan isu buli di sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada sesi penggulungan RUU itu bagaimanapun memberi jaminan bahawa siasatan yang telus dilaksanakan bagi memastikan kes berkenaan benar-benar mendapat keadilan.
Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial