KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya halal akan diwujudkan sebagai badan tunggal yang bertanggungjawab dalam tadbir urus dan pembangunan halal, menyelaras serta memudah cara keperluan industri dan menggalakkan pelaburan.
Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi hari ini, ia juga akan berperanan sebagai pusat rujukan dan hab standard untuk industri halal global.
Penubuhan suruhanjaya itu antara usaha mentransformasikan ekosistem halal negara bagi meningkatkan produktiviti dan melonjakkan sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta eksport seterusnya mengekalkan Malaysia sebagai peneraju halal global, sepanjang pelaksanaan RMK13.
“Selain itu, program peluasan pasaran produk dan perkhidmatan halal ke peringkat antarabangsa akan dimantapkan bagi menyokong penskalaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam industri halal.
“Peranan taman perindustrian halal akan diperkasa bagi memudah cara pembangunan industri halal bernilai tinggi,” menurut dokumen itu.
RMK13, yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan rakyat hari ini, berteraskan kepada tiga asas utama iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah, sistem sosial berteraskan insan MADANI serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan.
Pelan lima tahun pembangunan negara itu menyasarkan pembentukan masyarakat yang inklusif dan progresif selain menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi digital serantau melalui penghasilan inovasi serta produk dan perkhidmatan bertaraf global Made by Malaysia.
Ketika pembentangan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan menyasarkan nilai eksport halal negara terus meningkat kepada RM80 bilion manakala sumbangan industri halal kepada KDNK meningkat kepada 11 peratus dalam RMK13.
Sebagai pelengkap penubuhan suruhanjaya itu, dokumen tersebut memaklumkan bahawa perundangan akan digubal bagi menyeragamkan garis panduan, peraturan dan prosedur halal di peringkat Persekutuan serta negeri.
“Tumpuan utama penyeragaman ini merangkumi perihal pensijilan, pengauditan, promosi dan penguatkuasaan logo halal.
“Perundangan ini adalah kritikal bagi menyelesaikan pelbagai isu yang mengekang pembangunan industri halal dan menyelaras peranan serta fungsi 198 agensi yang terlibat,” menurut dokumen itu.
Pada 2024, sumbangan industri halal kepada KDNK adalah sebanyak 7.7 peratus dengan nilai RM149 bilion berbanding 7.6 peratus pada 2021 manakala nilai eksport halal mencecah RM61.8 bilion berbanding RM36.6 bilion dalam tempoh sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial