AM

Bukan Sekadar Gosip, Wartawan Hiburan 'arkitek' Naratif Budaya

03/06/2025 09:37 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Di sebalik tanggapan masyarakat yang melihat bidang kewartawanan hiburan sebagai kerjaya yang hanya berlegar sekitar gosip selebriti dan berita sensasi, hakikatnya tanggungjawab profesion itu tidak jauh bezanya dengan wartawan dalam bidang lain.

Daripada liputan festival filem antarabangsa hinggalah dokumentasi perjalanan seniman jalanan, setiap laporan yang dihasilkan wartawan hiburan menyumbang kepada rekod khazanah kebudayaan negara yang suatu hari nanti akan menjadi bahan rujukan sejarah.

Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin berkata tanpa kewujudan wartawan hiburan, dunia seni mungkin kehilangan arah kerana tiada pihak yang menjadi jambatan antara penggiat seni dengan masyarakat.

“Ramai sangka kerja kami glamor dan santai, namun realitinya kami mencorak naratif serta menyalurkan isu seni ke ruang wacana masyarakat. Dari karpet merah ke belakang pentas, dari festival filem ke nasib seni veteran, semua itu tidak akan sampai kepada khalayak tanpa peranan kami,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tengku Khalidah, 51, yang kini menjawat jawatan Ketua Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut berharap agar wartawan seni dan hiburan diberi pengiktirafan sewajarnya termasuk menerusi sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

“Jika politik membentuk dasar negara, maka hiburan membentuk jiwa masyarakat. Kami adalah penghubung antara industri dan rakyat. Tanpa wartawan hiburan, media akan kehilangan warna dan emosi. Dalam gaya penulisan santai, kami tetap berpegang kepada fakta dan etika.

“Selama ini, fokus lebih diberikan kepada bidang lain, sedangkan wartawan hiburan turut menyumbang kepada pembangunan industri seni, komunikasi dan penyiaran negara. WHAM terus memperjuangkan agar mereka dihargai setanding rakan-rakan seindustri lain,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih 2 dekad sebagai wartawan. 

Pandangan sama turut dikongsi wartawan Harian Metro Norhayati Nordin, 45, yang menyifatkan kewartawanan hiburan sebagai pelengkap penting dalam ekosistem media dengan menawarkan alternatif kepada laporan serius seperti politik dan ekonomi.

Beliau yang sudah lebih 20 tahun dalam industri menegaskan penulisan berita hiburan tetap perlu beretika, berpaksikan fakta dan tidak sekadar mengejar sensasi demi menjaga kredibiliti.

“Contohnya, penulisan berita hiburan di Harian Metro lebih berasaskan fakta serta berpandukan temu bual langsung bersama artis. Jarang sekali kami bergantung sepenuhnya kepada media sosial. Jika ada pun, ia sekadar rujukan awal sebelum kami mendapatkan penjelasan sebenar daripada artis itu sendiri,” katanya.

Norhayati juga berharap agar sambutan HAWANA akan terus menjadi wadah untuk membela nasib semua pengamal media, khususnya wartawan veteran dan penulis bebas yang berdepan cabaran bertahan dalam industri kerana mereka adalah wira yang tidak didendang. 

Bagi Mohd Fadhil Abdollah, 41, dari Wilayahku yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam kewartawanan, sudah tiba masanya wartawan hiburan diberi pengiktirafan setaraf dengan cabang kewartawanan lain kerana masing-masing mempunyai peranan dalam menyampaikan maklumat. 

“Kami berharap sambutan HAWANA kali ini memberi lebih ruang kepada wartawan hiburan yang selama ini kurang mendapat perhatian,” katanya.

Sementara itu, wartawan hiburan Sinar Harian Nurezzatul Aqmar Mustaza, 36, berpendapat tugas mereka bukan sekadar melaporkan dunia selebriti, tetapi turut menyorot aspek seni budaya dan sastera.

“Saya sendiri pernah menghasilkan laporan mengenai dunia sastera dan menerima pujian daripada mereka yang terlibat secara langsung. Mereka rasa dihargai kerana mendapat perhatian dalam liputan hiburan,” katanya yang berpengalaman lebih sedekad dalam bidang kewartawanan. 

Sambil menyeru agar wartawan terus menulis dengan kejujuran dan jiwa yang tulus, Nurezzatul Aqmar juga mengingatkan mereka yang baru berkecimpung agar tidak terlalu mengejar sensasi, sebaliknya carilah nilai dalam setiap cerita, sekali gus tidak hilang jati diri kerana hanya mahu menjadi tular.

Majlis Kemuncak HAWANA 2025 akan berlangsung pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan