JOHOR BAHRU, 1 Jun (Bernama) -- Penantian pembeli projek perumahan yang terbengkalai lebih 10 tahun di Taman Permata Layang, Simpang Renggam, Johor, untuk memiliki kediaman sendiri kini berakhir selepas mereka menerima Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR), semalam.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau sendiri berpeluang menyampaikan SLMR kepada pembeli projek berkenaan yang melibatkan pembinaan 47 unit rumah mampu milik dengan harga bermula serendah RM42,000 seunit.
“Secara peribadi, projek ini sangat dekat di hati saya kerana ia berada dalam kawasan saya sendiri, di Simpang Renggam dan telah saya perjuangkan sejak mula menjadi wakil rakyat.
“Proses untuk menyelesaikannya bukan mudah, ia memerlukan pelbagai intervensi, turun padang, pengurusan terperinci dan kerjasama erat antara pelbagai agensi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berharap supaya usaha itu menjadi titik tolak kepada lebih banyak penyelesaian projek terbengkalai di Johor.
Kerajaan negeri juga komited untuk menangani setiap projek sakit dan terbengkalai bagi memastikan isu itu tidak berulang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor serta semua pihak yang terlibat, termasuk Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Pejabat Daerah Kluang, dan Majlis Daerah Simpang Renggam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial