PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) -- Malaysia bersedia memperkukuh hubungan pelancongan dengan negara-negara Timur Tengah menerusi adaptasi model kejayaan yang diterajui Royal Brunei Airlines, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata pakej perjalanan “Brunei + Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu” oleh Royal Brunei Airlines yang menawarkan penginapan percuma selama satu malam di Brunei sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu telah menerima sambutan menggalakkan dan baru-baru ini diperluas untuk merangkumi Kuching.
“Setelah melihat kejayaan inisiatif berkenaan, kami merancang untuk mengadaptasi pendekatan ini bagi pasaran Timur Tengah dan India dengan kerjasama Royal Brunei Airlines untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiong berkata semasa Arabian Travel Market 2025, beliau dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy telah mengadakan perbincangan dengan Pengurus Wilayah UAE Royal Brunei Airlines Jalal Sanour Rahman yang membawa kepada persetujuan awal untuk menyesuaikan model “Brunei +” bagi pasaran UAE.
Pakej ini menyasarkan 4.5 juta ekspatriat India yang menetap di UAE dan menawarkan lawatan tujuh hari enam malam meliputi Brunei dan Malaysia, dengan Tourism Malaysia menaja penginapan percuma selama satu malam di Kota Kinabalu atau Kuching.
“Sasaran kami ialah menarik sekurang-kurangnya satu juta ekspatriat India di UAE untuk melawat kedua-dua negara. Saya berharap dapat memuktamadkan pakej ini menjelang akhir tahun sebagai sokongan kepada visi kita untuk menerima 45 juta pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata bagi menyokong usaha promosi, Tourism Malaysia akan menawarkan 30 slot lawatan suai kenal kepada Royal Brunei Airlines untuk membawa wakil mereka meneroka tarikan-tarikan baharu di pelbagai negeri.
Lawatan suai kenal itu dijadualkan pada September atau Oktober, dengan jadual perjalanan dijangka dimuktamadkan menjelang akhir Ogos.
Tiong berkata Royal Brunei Airlines juga dicadang mempertimbangkan pembukaan lebih banyak laluan sambungan seperti penerbangan terus dari Dubai ke Brunei dengan sambungan ke destinasi di Semenanjung Malaysia seperti Melaka, Johor, Pahang atau Perak.
Beliau berkata laluan seperti itu boleh dilaksanakan melalui perjanjian perkongsian kod atau penerbangan sewa khas dan akan membantu meletakkan Malaysia dan Brunei sebagai pintu masuk utama bagi perjalanan serantau.
“Strategi ini, dengan pelancong masuk melalui Brunei dan keluar melalui Malaysia, juga selaras dengan usaha untuk mengembangkan segmen pasaran pelancongan Muslim antara kedua-dua negara,” katanya sambil menambah akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan untuk mempercepatkan sebarang kelulusan yang diperlukan bagi laluan baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial