AM

Rakyat Sokong Pendekatan Diplomasi Anwar Dalam Isu Palestin, Laut China Selatan

30/05/2025 09:53 PM

Oleh Shaidathul Suhana Ros dan Norazurra Aziz

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berjaya dalam menghasilkan pelbagai pencapaian termasuk kenyataan bersama yang kukuh yang mencerminkan semangat muafakat antara negara anggota.

Keberanian Malaysia menerusi pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya dalam isu serangan terhadap orang awam di Gaza dilihat berjaya mendapat sokongan pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, yang dizahirkan menerusi kenyataan bersama.

Pesara kerajaan, Minati Hamir, 70, berkata sebagai rakyat Malaysia dan Muslim, beliau menyokong sepenuhnya komitmen kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat di Gaza yang lama tertindas akibat konflik berpanjangan. 

"Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini pastinya dapat memainkan peranan lebih aktif dan berkesan dalam menggerakkan usaha diplomatik serta kempen kesedaran di peringkat serantau dan global agar sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin tidak hanya datang daripada negara Islam.

"Sebaliknya ia perlu turut disokong negara lain di seluruh dunia yang menjunjung nilai keadilan kerana krisis ini bukan isu agama semata-mata, tetapi soal kemanusiaan sejagat yang memerlukan perhatian, tindakan serta solidariti menyeluruh daripada semua pihak tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bekas pengetua sebuah sekolah menengah di Johor itu turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan kempen kesedaran dengan lebih menyeluruh khususnya dalam kalangan generasi muda bagi memastikan isu genosid dan penderitaan dialami rakyat Gaza sejak puluhan tahun tidak dilupakan.

Senada dengan Minati, pelajar institut pengajian tinggi awam Anni Holilah Syahuddin, 23, berharap keputusan atau resolusi dicapai dapat mengembalikan keamanan di bumi Gaza.

"Pertumpahan darah di Gaza yang saban hari meragut semakin banyak nyawa ibarat tiada titik noktahnya. Saya berharap agar penderitaan mereka sejak sekian lama bakal berakhir dengan pembebasan daripada cengkaman rejim Israel,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Lauren Yee, 35, mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas kejayaan memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN terutama dalam usaha berunding secara diplomatik bagi mencari penyelesaian terhadap isu serantau yang kompleks, termasuk ketegangan di Laut China Selatan.

"Sebagai rakyat Malaysia, diharapkan penyelesaian secara aman dapat dicapai melalui pendekatan diplomasi kerana China antara rakan dagang utama negara, lebih-lebih lagi dalam konteks ketidaktentuan ekonomi global dan isu tarif melibatkan Amerika Syarikat yang turut memberi kesan kepada kestabilan perdagangan dan ekonomi serantau.

"Saya percaya bahawa Perdana Menteri, sebagai seorang pemimpin dunia yang dihormati, mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan menyelesaikan isu-isu antarabangsa melalui pendekatan diplomasi yang berhemah dan berkesan. Kepimpinan berkredibiliti amat diperlukan dalam memastikan kestabilan dan kerjasama serantau terus terpelihara," katanya.

Yee berharap agar negara anggota ASEAN dapat menunjukkan kesatuan lebih kukuh selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 baru-baru ini, memandangkan ASEAN merupakan sebuah rantau kecil tetapi perlu mempamerkan imej yang kuat dan bersatu dalam menghadapi cabaran geopolitik global masa kini.

Duta Perpaduan Kerajaan dan Ikon Bahasa Melayu Negara Lim San Shien, 25, berkata kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN mencerminkan prinsip Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) yang menyerlahkan rantau itu sebagai pusat keamanan, keselamatan dan kerjasama ekonomi yang hebat. 

"Persidangan ini turut menyentuh isu belia dan saya berharap peranan belia sebagai aset masa depan ASEAN selepas ini akan terus diperkasakan dengan program dan inisiatif yang sesuai sekali gus menyerlah bakat, pertukaran pandangan dan perkongsian kemahiran serta kepakaran," katanya.

Lim berkata antara kejayaan dan impak ASEAN kali ini adalah dengan pelancaran Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, yang menjadi titik permulaan kepada kerjasama bilateral dan multilateral yang lebih luas dalam pelbagai bidang seperti ekonomi dan sosiobudaya.

“Malaysia harus mengarusperdanakan nilai, identiti dan imej kebersamaan ASEAN yang mampu bekerjasama mengemudi situasi geopolitik yang dinamik dalam situasi geoekonomi yang semakin rancak,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN adalah hasil usaha kolektif semua pihak yang mencerminkan kekuatan semangat berpasukan. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata segala urusan berjalan lancar hasil komitmen luar biasa daripada jentera kerajaan, termasuk rakyat yang memahami keperluan Malaysia dalam menganjurkan sidang kemuncak berkenaan.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan'  menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan dari 22 hingga 27 Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan