AM

Penduduk Taman Agropolitan Berdepan Ancaman Beruang Matahari

30/05/2025 06:26 PM

GUA MUSANG, 30 Mei (Bernama) -- Kira-kira 3,000 penduduk Taman Agropolitan, Rantau Manis di sini diselubungi ketakutan untuk menjalankan aktiviti harian selepas seekor beruang matahari dewasa dilihat berkeliaran di kawasan itu sehingga merosakkan tanaman dan ternakan.

Penduduk, Siti Aminah Zakaria, 44, berkata beliau melihat haiwan tersebut cuba mendapatkan buah nangka daripada pokok di hadapan rumahnya dari jarak kira-kira tiga meter.

"Mula-mula saya nampak haiwan yang berketinggian kira-kira satu meter ini sedang menghampiri pokok nangka pada kelmarin, lebih kurang 6 petang, anak saya ketika itu berada di luar rumah turut berasa terkejut dan menjerit sebelum mendapatkan saya. 

"Semalam pula secara tiba-tiba muncul di parkir kereta rumah jiran saya kira-kira 11 pagi. Jiran yang ketika itu sedang menjemur pakaian terperanjat sebelum lari masuk ke dalam rumah," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Agropolitan, Rantau Manis, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk Mohd Syawal Imran Abdul Rahim, 17, pula berkata dia juga pernah melihat kelibat beruang itu dua hari lepas yang sedang menggali busut anai-anai berdekatan rumah penduduk.

"Saya terus merakam aksi haiwan tersebut dan menghantarnya ke dalam Whatsapp perumahan untuk memberi peringatan kepada semua penduduk berhampiran," katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Taman (JKKT) Taman Agropolitan Roslee Ibrahim, 51, berkata beruang berkenaan mula berkeliaran di kawasan perumahan Fasa 1, Taman Agropolitan, Rantau Manis kira-kira tiga bulan lepas sebelum muncul di kawasan Kampung 10 di sini, dua minggu lepas. 

"Selain berdepan kerugian, penduduk juga risau tentang ancaman keselamatan setelah melihat kesan cakaran kuku beruang ini yang terdapat pada batang pokok. 

"Kami bimbang beruang berkenaan akan semakin berani menghampiri dan memasuki rumah penduduk," katanya. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memaklumkan bahawa laporan mengenai hal itu telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Kita harap tindakan pencegahan termasuk pemasangan perangkap dapat dilakukan segera untuk memberi jaminan keselamatan kepada penduduk," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan