KOTA BHARU, 30 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka peluang kepada usahawan bumiputera di seluruh negara untuk turut serta dalam program "Jelajah FAMA Pulau Pinang" bagi memasarkan produk berkaitan sajian makanan popular, jualan produk agromakanan, kraf tangan dan Agro MADANI untuk meningkatkan pendapatan.
Pengarah FAMA Pulau Pinang Mohd Hafiz Nurulhuda berkata program itu yang memperkenalkan "Signature Produk Keluaran Pulau Pinang" akan menjadi platform kepada para usahawan mempromosikan produk tempatan, selain memperkukuh kerjasama serta membuka peluang jaringan perniagaan rentas negeri dan seterusnya ke luar negara.
"Ia sebahagian daripada usaha strategik kerajaan dalam memperkukuh jaringan keusahawanan dan memperluas pasaran produk usahawan Pulau Pinang ke negeri lain, khususnya di Pantai Timur," katanya kepada pemberita selepas program Jelajah FAMA Pulau Pinang @ Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong, di sini hari ini.
Mohd Hafiz berkata siri jelajah kedua itu diadakan di Kelantan selepas Melaka selama empat hari bermula semalam hingga 1 Jun, melibatkan penyertaan sebanyak 28 usahawan dari Pulau Pinang.
"FAMA selaku agensi berperanan memperluas saiz pasaran pertanian bagi meningkatkan pendapatan pengeluar serta memastikan produk pertanian, terutamanya industri florikultur, herba dan industri asas tani tersedia, boleh diperoleh pada harga mampu dibayar dan lebih dekat dengan pengguna," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial