AM

Kebakaran Putra Heights: Selangor Timbang Jadi Orang Tengah Isu Tuntutan Insurans

13/05/2025 02:50 PM

KUALA SELANGOR, 13 Mei (Bernama) -- Mesyuarat unit bencana negeri Selangor petang ini antara lain akan membincangkan kemungkinan kerajaan negeri boleh menjadi orang tengah bagi menyelaras rundingan antara mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dengan syarikat insurans, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kerajaan negeri mungkin boleh jadi mediator sebab ini melibatkan perjanjian antara dua pihak iaitu syarikat insurans dan pemegang polisi.. Kerajaan negeri sedia membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di sini hari ini. 

Amirudin berkata mesyuarat itu juga akan memberi tumpuan kepada beberapa kes melibatkan mangsa masih belum mendapat bantuan sewa rumah disediakan kerajaan negeri, kebanyakannya disebabkan tidak mempunyai dokumen mencukupi. 

Beberapa media sebelum ini melaporkan sebahagian penduduk terkesan dengan insiden kebakaran pada 1 April, mendakwa berdepan pelbagai cabaran, terutama dalam menuntut pampasan insurans rumah dan kenderaan selepas lebih sebulan kejadian tersebut berlaku.

Setiausaha Persatuan Penduduk Topaz Putra Heights Lau Cheng Chew dilaporkan berkata penduduk kecewa kerana jumlah tuntutan diluluskan syarikat insurans adalah rendah, meskipun kediaman dan kenderaan mereka terdedah kepada haba tinggi selama hampir lapan jam.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan