AM

Haramkan Penggunaan Vape Perlu Peraturan, Undang-undang Jelas - Aminuddin

05/08/2025 03:45 PM

SEREMBAN, 5 Ogos (Bernama) -- Tindakan mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di Negeri Sembilan memerlukan peraturan dan undang-undang yang jelas supaya pelaksanaannya benar-benar berkesan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tanpa peraturan atau undang-undang khusus, pengharaman itu mungkin tidak akan berkesan kepada masyarakat kerana penjualan dan penggunaannya masih berleluasa seolah-olah tiada larangan dikuatkuasakan.

“Memang dipersetujui Majlis Raja-Raja untuk negeri mengharamkan vape dan nampaknya semua negeri bersetuju, cuma apabila ada persetujuan tak ada peraturan itu yang perlu dikaji semula supaya ada undang-undang yang akan dilaksanakan.

“Kita tak nak hanya ada pengumuman haram tapi penjualan masih berleluasa seolah-olah tiada peraturan atau undang-undang, akhirnya menjadikan peraturan itu tidak bermakna, (mereka fikir) kalau haram pun tak apa mereka boleh jual,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata kerajaan negeri sememangnya menyokong penuh pengharaman penggunaan atau penjualan vape namun perlu seiring dengan peraturan yang jelas dan tegas.

“Kita tak boleh laksanakannya kalau tak ada peraturan dan undang-undang khusus, kena faham ia harus seiring, maksudnya keputusan mengharamkan itu harus bersama dengan undang-undang, baru dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Terdahulu, pada sesi pertanyaan lisan, Aminuddin memohon anggota keselamatan dan pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) melipatgandakan penguatkuasaan bagi memastikan vape yang dicampurkan dengan bahan terlarang seperti magic mushroom tidak terus berada dalam pasaran.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Asna Amin (BN-Lenggeng) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri bercadang mengharamkan terus penjualan vape atau membenarkannya dengan jenama tertentu.

Aminuddin berkata pihaknya bersetuju pengunaan vape diharamkan dan menyerahkan kepada Persekutuan untuk membuat peraturan atau kaedah penguatkuasaan untuk dilaksanakan pada masa akan datang sebelum mengisyhtiharkan pengharamannya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat itu berkata di bawah Seksyen 3 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) semua produk merokok yang ingin diimport, dikilang atau diedarkan dalam pasaran Malaysia hendaklah didaftarkan kepada KKM terlebih dahulu.

“Produk merokok yang mengandungi sebarang bahan terlarang yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 termasuk Psylocibin, iaitu bahan kimia aktif dalam magic mushroom tidak akan diluluskan pendaftaran dan tidak boleh diedarkan di Malaysia,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Suhaimizan Bizar (BN-Gemencheh) mengenai langkah kerajaan negeri dalam membanteras penyalahgunaan vape yang dicampur dengan bahan terlarang seperti magic mushroom serta langkah memastikan penguatkuasaan lebih spesifik supaya pengusaha sah tidak terjejas oleh dasar yang terlalu umum.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan