SUBANG, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan telah mengaktifkan kira-kira 3,300 telaga tiub atau tubewell di kawasan berisiko tinggi kebakaran sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi cuaca panas melampau dan cuaca kering berpanjangan sepanjang Monsun Barat Daya yang sedang berlaku sekarang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah diarahkan untuk membersih dan mengoperasikan semula telaga tersebut, terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut dan kawasan hutan.
“Tubewell ini telah lama disediakan dan apabila berlaku Monsun Barat Daya, tindakan pengoperasian itu dilakukan dengan segera melalui kerjasama pasukan bomba dan Jawatankuasa Bencana di peringkat daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai operasi pembenihan awan bersama Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abdul Halim Hamzah serta Timbalan Ketua Pengarah (Strategi dan Teknikal) Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Mohd Zunaidi Mat di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.
Ahmad Zahid menekankan bahawa Monsun Barat Daya yang membawa cuaca kering dan suhu tinggi ini dijangka berterusan hingga pertengahan Oktober, memerlukan semua agensi berkaitan sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
“Berdasarkan nasihat NADMA dan MetMalaysia, kita memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum, khususnya di kawasan yang merekodkan cuaca panas melampau,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan nasihat kesihatan awam untuk mengurangkan pendedahan masyarakat terhadap cuaca panas termasuk menyarankan penjadualan semula aktiviti luar bilik darjah bagi pelajar sekolah.
“Penerangan perlu dibuat agar dapat mengelakkan aktiviti di luar rumah terutama dalam kalangan anak-anak sekolah dan penyelarasan dilakukan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menjadualkan semula aktiviti di luar bilik darjah,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata operasi pembenihan awan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di kawasan Empangan Bukit Merah, Perak yang mengalami paras air kritikal berhasil apabila hujan lebat dilaporkan berlaku selepas 45 minit operasi dilaksanakan hari ini.
Beliau berkata operasi pembenihan awan itu dilakukan kerana cuaca kering berpanjangan telah menjejaskan komuniti setempat dan kawasan pertanian susulan paras air di empangan berkenaan hanya mencatat 12.21 peratus atau 6.03 meter bagi kedalaman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial