SUBANG JAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) hari ini merasmikan makmal kateterisasi (Cath Lab) baharu dinamakan sempena Datuk Dr Anuar Masduki, sebagai penghormatan kepada beliau yang merupakan antara pakar kardiologi dan perubatan paling disegani di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SJMC dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Asia OneHealthcare Bryan Lin berkata majlis perasmian yang disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah itu juga menandakan ulang tahun ke-40 SJMC.
Lin berkata Dr Anuar merupakan antara pengasas awal pasukan perubatan SJMC dan pernah berkhidmat sebagai pakar kardiologi peribadi kepada Sultan Selangor.
“Detik ini amat bermakna kepada kami di SJMC dan semua mengenali Allahyarham Dr Anuar, seorang yang berwawasan dan perintis dalam bidang kardiologi. Dedikasi, kebijaksanaan dan belas ehsan beliau meninggalkan kesan berkekalan dalam penjagaan kesihatan di Malaysia.
“Sebagai rakan, kawan sekerja dan doktor, beliau seorang yang merendah diri, boleh dipercayai serta sentiasa mengutamakan pesakit pada setiap masa diperlukan.
“Menamakan makmal ini dengan penghormatan kepada Dr Anuar merupakan cara kami mengekalkan legasi dan mengiktiraf nilai diamalkan beliau, yang akan terus memberi inspirasi kepada kami di SJMC,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian makmal itu.
Turut berangkat pada majlis itu Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Lin berkata makmal baharu itu mula beroperasi pada Mei, dengan pelaburan sebanyak RM14 juta.
“Makmal ini memperluas keupayaan kami untuk memberi perkhidmatan penjagaan peribadi melalui diagnosis dan rawatan masalah jantung kompleks menggunakan teknik invasif minimum termasuk angioplasti dan elektrofisiologi terkini.
“Pada masa kini, kami telah menggandakan jumlah pesakit yang didiagnosis dan dirawat. Dilengkapi dengan teknologi terkini flex-arm membolehkan kami menjalankan lebih banyak prosedur, memendekkan tempoh pemulihan dan meningkatkan hasil rawatan pesakit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial