AM

100 PENGGIAT RADIO AMATUR KENDALI ILLW DI LAPAN RUMAH API HUJUNG MINGGU INI

12/08/2025 01:09 PM

MELAKA, 12 Ogos (Bernama) -- Seratus penggiat radio amatur di seluruh negara akan mengendalikan “The International Lighthouse and Lightship Weekend”(ILLW) pada Sabtu dan Ahad ini.

Presiden Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) Mohd Aris Bernawi berkata ia membabitkan Rumah Api Tanjung Datu, Lundu, Sarawak; Rumah Api Bukit Segenting (Batu Pahat); Rumah Api Pulau Undan (Selat Melaka); Rumah Api Tanjung Tuan (Melaka); Rumah Api Bukit Jugra (Selangor), Rumah Api Altingsburg (Kuala Selangor); Rumah Api Tanjung Gelang (Kuantan) dan Rumah Api Bukit Puteri (Kuala Terengganu).

“Acara tahunan yang berlangsung pada minggu ketiga Ogos ini juga merupakan Hari Terbuka Rumah Api seluruh dunia bertujuan untuk menggalakkan kesedaran awam mengenai perairan maritim, bangunan rumah api dan kapal suar yang begitu penting kepada pelayaran kapal di lautan.  

“Pada masa sama ILLW juga bertujuan mempromosi hobi radio amatur yang menjadi komunikasi alternatif ketika kecemasan atau bencana terutama di kawasan maritim dan udara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Aris berkata bagi program berkenaan, setiap pengendali stesen radio amatur di rumah api diperuntukkan dengan isyarat panggilan unik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) seperti 9M4LHD untuk Rumah Api Tanjung Datu.   

Beliau berkata Jabatan Laut Malaysia termasuk Jabatan Laut Wilayah Sabah dan Sarawak juga akan mengeluarkan permit khas kepada penggiat radio amatur yang mengendalikan stesen radio rumah api di negeri masing-masing dan kepada pelawat. 

“Tapak rumah api adalah tempat larangan dan kawasannya terhad, tidak dapat menampung pengendali radio amatur atau pelawat yang ramai. 

“Ada masanya rumah api ini ditutup dan pengendali radio amatur terpaksa melakukan aktiviti di luar pagar rumah api,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan