KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) hari ini memeterai perjanjian pelaburan strategik bersama Oncode Scientific Sdn Bhd (Oncode), sebuah syarikat tempatan teknologi mendalam untuk kesihatan yang menumpukan diagnostik molekul dan perubatan jitu.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC Mohammad Hazani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengasas Oncode Profesor Madya Dr Lim Su Wen, disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Terdahulu dalam ucapannya, Chang berkata kerjasama itu bukan sekadar simbolik sebaliknya satu pencapaian penting dalam memperkukuh ekosistem teknologi dan langkah yang signifikan dalam menyokong misi MOSTI untuk mengukuhkan ekosistem teknologi mendalam di Malaysia.
“Seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030, MOSTI menyasarkan untuk melahirkan 5,000 syarikat pemula teknologi tempatan menjelang 2025, selain menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C),” katanya.
Chang berkata selain membantu lebih 700 syarikat, MTDC juga berperanan sebagai agensi pembiayaan, pembina kapasiti, penghubung ekosistem serta rakan industri yang diyakini.
"Pelaburan itu akan menyokong usaha Oncode dalam memperluas diagnostik peribadi dan menubuhkan makmal diagnostik molekul di hospital tempatan, selaras dengan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS).
“Kemudahan itu bakal berfungsi sebagai medan menguji inovasi penjagaan kesihatan termaju termasuk robotik, biopenderia dan diagnostik molekul, yang disokong dengan pemudah cara peraturan dan mekanisme sandbox bagi mempercepat pelaksanaan,” katanya.
Chang turut menyentuh mengenai projek MyGenom, iaitu inisiatif genom kebangsaan yang menyasarkan penjujukan 10,000 genom bagi penjagaan kesihatan peribadi dan ramalan.
MOSTI sentiasa bersedia menyokong inisiatif yang memanfaatkan rakyat, sama ada dalam bentuk perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi mahupun teknologi tempatan yang mampu bersaing pada peringkat global.
Sementara itu, Mohammad Hazani berkata MTDC memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara penyelidikan dan pengkomersialan.
“Sebagai syarikat usaha niaga teknologi di bawah MOSTI, MTDC ditubuhkan bagi menangani cabaran yang selama ini membelenggu pembangunan inovasi negara, iaitu jurang penting antara penemuan penyelidikan dan teknologi yang sedia dipasarkan,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 1992, MTDC membiayai lebih 850 syarikat teknologi, memudahkan 18 penyenaraian awam awal (IPO) yang berjaya, melahirkan lebih 11,500 tenaga kerja berpengetahuan serta menyumbang kepada hasil sebanyak RM8 bilion dan eksport berjumlah RM1 bilion.
Selain itu, syarikat dalam ekosistem MTDC memfailkan lebih 700 harta intelek dan memperoleh kelulusan untuk 133 projek di bawah NTIS, membolehkan pelaksanaan inovasi tempatan di dunia nyata.
“Pelaburan kami dalam Oncode Scientific mencerminkan misi itu. Oncode bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam diagnostik molekul dan sains translasi, malah berkeupayaan untuk membentuk sempadan baharu teknologi kesihatan negara,” katanya.
Untuk terus menyokong inovasi, Hazani berkata MTDC turut memperluas infrastrukturnya dengan menubuhkan tujuh pusat kecemerlangan Revolusi Industri 4.0 yang memfokus kepada bidang robotik, realiti terimbuh dan maya (AR/VR), kecerdasan buatan generatif (AI), pertanian pintar, teknologi perubatan dan sistem geospatial.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MOSTI terhadap sokongan berterusan, sambil mengulangi komitmen MTDC dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi di rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial