AM

Bayaran Balik Pinjaman RMR Cecah RM117 Juta, Naik 57 Peratus - Aiman Athirah

04/08/2025 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Prestasi bayaran balik pinjaman bagi pemohon program Rumah Mesra Rakyat (RMR) menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila jumlah kutipan keseluruhan mencapai RM117 juta setakat 30 Jun lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata jumlah itu meningkat 57 peratus berbanding kutipan RM74.94 juta tahun lepas.

“Hal ini sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak RM42.51 juta bagi tempoh sama pada tahun lepas … peningkatan ini mencerminkan keberkesanan sistem kutipan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta tahap kebertanggungjawaban peminjam dalam melunaskan bayaran balik.

“(Perkara ini) juga menunjukkan bahawa program Rumah Mesra Rakyat ini terus mendapat sambutan dan kepercayaan dalam kalangan rakyat di seluruh negara,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berkenaan prestasi bayaran balik pinjaman RMR tahun ini dan kadar keberhasilan kutipan semula oleh SPNB.

Aiman Athirah berkata kadar keberhasilan kutipan semula pinjaman itu adalah tinggi, dengan hampir semua negeri mencatatkan pertumbuhan positif.

“Antara negeri yang merekodkan kutipan tertinggi ialah Kelantan dengan RM19.92 juta yang meningkat 75 peratus, Terengganu RM15.65 juta (naik 66 peratus), Kedah RM11.99 juta (naik 76 peratus) dan Negeri Sembilan RM9.02 juta (naik 78 peratus),” katanya.

Beliau berkata sejak 2022 hingga 30 Jun tahun ini, sebanyak 186,315 permohonan dari seluruh negara telah diterima, manakala 73,280 permohonan telah diluluskan dengan 72,509 unit telah siap dibina dan diserahkan kepada pemilik, sementara baki 771 unit masih dalam pembinaan.

“Sebanyak 30,262 permohonan atau 16.2 peratus telah dibatalkan atau ditolak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan, sementara 13,177 permohonan telah dinilai layak dan sedang menunggu giliran. Selain itu, 69,596 permohonan baharu sedang melalui proses semakan kelayakan,” katanya. 

Aiman Athirah berkata SPNB kini dalam perancangan untuk melaksanakan kaedah kolaborasi dalam pelaksanaan RMR bersama rakan-rakan agensi serta syarikat kerajaan atau swasta, bagi memperkasakan lagi pelaksanaan program berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan